Norzamira Che Noh


JENAZAH bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam, 9.56 pagi ini.

Mohd Shukri, 65, disahkan meninggal dunia di Hospital Pakar Avisena, Shah Alam pada 4.45 petang semalam.

Kira-kira 200 orang yang terdiri daripada keluarga serta rakan Allahyarham hadir memberikan penghormatan terakhir.

Terdahulu, jenazah Mohd Shukri dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS) untuk dimandi dan dikafankan.

Kemudian, satu tahlil ringkas dibacakan, diikuti solat jenazah yang diimamkan oleh Imam Besar MSSAAS, Muhammad Farhan Wijaya.

JENAZAH Mohd Shukri ketika dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO Saddam Yusoff
JENAZAH Mohd Shukri ketika dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO Saddam Yusoff

Turut hadir menziarahi Allahyarham adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin dan bekas Ketua Polis Selangor; Datuk Seri Abdul Samah Mat.

Sementara itu, anak Allahyarham, Ummi Fateen, 32, berkata anggota keluarganya membawa Mohd Shukri ke hospital selepas bapanya mengadu tidak sihat.

“Kami terus membawa ayah ke hospital. Kira-kira 15 minit kemudian, ayah disahkan meninggal dunia,” katanya.

Sebelum menjawat jawatan Ketua Polis Selangor, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 11:39 AM