DATUK Onn Hafiz Ghazi. FOTO Arkib NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
DATUK Onn Hafiz Ghazi. FOTO Arkib NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan Johor akan menghadiahkan insentif wang tunai kepada dua atlet kelahiran negeri ini yang menyumbang pingat pada temasya Sukan Komanwel 2022 yang sedang berlangsung di Birmingham, England.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan, akan menerima RM10,000 manakala atlet berbasikal, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, bakal menerima RM6,000.

"Sebagai tanda penghargaan kepada kejayaan Mohamad Aniq Kasdan yang meraih pingat emas dan Muhammad Shah Firdaus, meraih gangsa dalam Sukan Komanwel, Kerajaan Johor akan menghadiahkan insentif wang tunai berkenaan.

"Kejayaan dua atlet berkenaan memberi inspirasi sekali gus mengharumkan nama negara dan negeri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Mohamad Aniq dilaporkan mencipta sensasi apabila meraih emas negara pada temasya Sukan Komanwel 2022 di National Exhibition Center (NEC), Birmingham.

Ia adalah juga pingat pertama yang dimenangi kontinjen negara pada temasya empat tahun sekali ini yang membuka tirainya secara rasmi pada 28 Julai lalu.

Pada saingan bagi kategori 55 kilogram (kg) itu, Aniq berjaya mengumpulkan keseluruhan angkatan sebanyak 249 kilogram (kg) bagi disiplin snatch dan clean & jerk.

Dalam pada itu, kejayaan Muhammad Shah Firdaus meraih gangsa dilaporkan mengakhiri penantian selama lapan tahun pelumba berbasikal trek negara untuk memenangi pingat acara keirin pada temasya Sukan Komanwel.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 6:54 PM