Keadaan kereta dipandu mangsa terbabas merempuh kedai serbaneka di stesen minyak di Jalan Bukit Rambai. Foto Ihsan PDRM
Keadaan kereta dipandu mangsa terbabas merempuh kedai serbaneka di stesen minyak di Jalan Bukit Rambai. Foto Ihsan PDRM
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun cedera selepas kereta dipandunya terbabas merempuh kedai serbaneka di sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Rambai di sini, jam 7 petang semalam.

Kejadian berlaku selepas warga emas itu selesai mengisi minyak bersama dua cucunya berusia 12 serta 13 tahun.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, selesai mengisi minyak, lelaki itu tiba-tiba tertekan pedal minyak mengakibatkan Hyundai Sonata dipandunya merempuh kedai serbaneka stesen minyak berkenaan.

"Lima keping panel kaca pecah akibat rempuhan itu. Ketika kejadian, tiada pelanggan di dalam kedai. Pemandu kereta itu cedera ringan di kaki manakala cucunya selamat.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital oleh anaknya yang tiba di lokasi tidak lama kemudian," katanya dihubungi hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (1987).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 11:37 AM