ISMAIL Sabri (tengah) pada Majlis Perasmian MIACES bersama Zuraida (kanan). FOTO Bernama
ISMAIL Sabri (tengah) pada Majlis Perasmian MIACES bersama Zuraida (kanan). FOTO Bernama
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kerajaan menyedari seluruh dunia termasuk Malaysia berdepan dengan cabaran sekuriti makanan akibat ketidaktentuan ekonomi global dan krisis geopolitik serta perubahan iklim.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkembangan ini menjejaskan rantaian bekalan makanan kerana ada negara menghentikan eksport bahan makanan untuk keperluan haiwan ternakan.

Justeru, katanya, kerajaan amat menggalakkan usaha menjadikan hampas isirung sawit sebagai bahan mentah makanan domestik akuakultur dan penternakan, bagi mengurangkan pergantungan import dan menyumbang kepada inisiatif sekuriti makanan (food security) negara.

Beliau berkata, pada masa sama pendekatan untuk menggunakan bahan mentah daripada sisa buangan atau lebihan di sepanjang rantaian nilai sektor agrikomoditi, juga diberi tumpuan bagi memacu pembangunan ekonomi kitaran ekonomi kitaran (circular economy).

"Ini termasuk menjadikan sumber biojisim agrikomoditi sebagai antara komponen penting dalam ekonomi kitaran yang berupaya menghasilkan produk nilai tambah, sekali gus membolehkan Malaysia bakal muncul sebagai hab biojisim.

"Keupayaan sasaran ini juga sesuai dengan status negara sebagai pengeksport minyak sawit kedua terbesar di dunia dan penyumbang terbesar dalam industri biojisim," katanya.

Beliau berkata demikian melancarkan majlis perasmian Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia 2022 (MIACES) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba; dan dua Timbalan Menteri KPPK, Datuk Willie Mongin serta Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia adalah perintis dalam pelaksanaan pensijilan hutan tropika yang dikenali sebagai Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang diiktiraf dan diperakui negara-negara dunia.

Beliau berkata, malah produk kayu bersijil daripada Malaysia digunakan dalam pembinaan Stadium Nasional Jepun untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Selain itu, sektor perabot negara juga sedang melalui transformasi dan kita kini boleh berbangga kerana mampu menghasilkan reka bentuk perabot yang semakin dikenali di peringkat antarabangsa di bawah label Tanggam.

"Malaysia turut terkenal sebagai pengeksport getah asli dan barangan getah yang berkualiti tinggi terutamanya

sarung tangan getah yang menembusi hampir 190 negara.

"Sejajar dengan evolusi yang berlaku dalam rantaian penghasilan produk getah masa kini, Malaysia telah mempelbagaikan produk berasaskan getah terutama sekali yang bernilai tinggi," katanya.

Ismail Sabri berkata, terbaharu hasil penyelidikan yang diterajui oleh anak Malaysia dengan kerjasama universiti terkemuka dunia, komposit getah generasi baharu berjaya dicipta kombinasi ekstrak graphene dan getah asli.

Menurutnya, komposit getah baharu itu akan digunakan dalam pembuatan belon aeroangkasa dan ia adalah yang pertama seumpamanya di dunia.

Katanya, penemuan baharu itu membolehkan Malaysia menceburi industri bernilai tinggi dan meneroka pasaran baharu yang melibatkan aplikasi satelit dan aeroangkasa seterusnya membantu meningkatkan nilai eksport produk getah negara.

"Apa pun, kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) bagi mempelbagaikan produk agrikomoditi dengan nilai tambah tinggi.

"Bagi produk sawit, syarikat-syarikat milik kerajaan China akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat Malaysia dan MPOB untuk mengeluarkan hydrotreated vegetable oil (HVO) dan bahan api penerbangan mampan (SAF) di Malaysia melibatkan FDI bernilai RM6 bilion.

"Syarikat dari China ialah Shanxi Construction Investment Group Co Ltd (SCIG) dan Institute of Coal Chemistry, Chinese Academy of Sciences (ICC-CAS) manakala syarikat Malaysia pula Pengerang Maritime Industries Sdn

Bhd (Benalec) dan Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC)," katanya.

Beliau berkata, usaha sama itu bakal menawarkan 1,000 peluang pekerjaan. Katanya, pembinaan kilang HVO dan SAF pertama di Malaysia ini adalah salah satu inisiatif untuk memacu sektor sawit Malaysia ke arah industri berteknologi dan

bernilai tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 12:26 PM