Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Lima laras senapang angin buatan sendiri lengkap dengan peluru bebola besi ditemukan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen di Perkampungan Nelayan Kuala Gula, di sini malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, semua senjata itu ditemui dalam bot yang dinaiki sekumpulan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Katanya, dalam operasi bermula 11.30 malam itu, pihaknya menyerbu 15 rumah diduduki 63 warga asing dan menahan 60 Pati warga Indonesia (23 orang) dan Myanmar (37 orang) yang tiada dokumen pengenalan sah.

"Ketika serbuan, ada 20 Pati cuba melarikan diri dengan menaiki bot ke arah sangkar ikan namun, dapat diberkas, begitu juga yang kumpulan yang bertindak terjun laut.

"Dalam bot itu kita temui senapang angin dan merampasnya untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media selepas operasi itu.

Operasi berkenaan membabitkan 90 anggota dan pegawai Imigresen Putrajaya dan Perak.

Beliau berkata, semua Pati ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun membabitkan 48 lelaki, 11 wanita dan seorang kanak-kanak lelaki 10 tahun.

Katanya, Pati berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui pertukaran bot di tengah laut dan diambil bekerja sebagai nelayan serta pekerja kilang proses belacan di sini secara tidak sah.

Khairul Dzaimee berkata, maklumat dan risikan pihaknya turut mendapati ada Pati yang menyewa bot daripada nelayan tempatan untuk beroperasi sendiri, yang melanggar syarat lesen perikanan.

"Mereka ditahan di Depo Tahanan di Langkap untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) dan 56(1) Akta Imigresen 1956/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 9:15 AM
Khairul Dzaimee (dua dari kiri) sempat menemubual salah seorang Pati warganegara Indonesia yang ditahan. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Khairul Dzaimee (dua dari kiri) sempat menemubual salah seorang Pati warganegara Indonesia yang ditahan. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI