GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Sebanyak 211 majikan ditahan kerana melindungi dan manggajikan pendatang asing tanpa izin (Pati) sehingga 29 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, semua majikan itu ditahan menerusi 5,416 operasi di seluruh negara.

Menurutnya, daripada 211 majikan yang ditahan, majoriti adalah warga tempatan iaitu 203 orang diikuti tiga warga Pakistan, Filipina (1), Vietnam (1), Korea (1) dan selebihnya adalah lain-lain negara.

"Pada tahun 2020, sebanyak 389 majikan ditahan manakala tahun lalu membabitkan 206 majikan.

"Mereka yang melindungi atau menggajikan warga asing boleh dikenakan denda mencecah RM50,000 mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B akta sama.

"Selain denda, pesalah turut boleh dikenakan hukuman penjara atau enam kali sebatan jika terlibat dengan kegiatan tersebut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain itu, sepanjang tempoh pelaksanaan operasi tahun ini, JIM menahan 13,524 warga asing.

Katanya, mengikut pecahan, tangkapan tertinggi membabitkan warga Indonesia iaitu 6,048 orang diikuti dengan warga Myanmar iaitu 2,093 orang.

"Seterusnya adalah Bangladesh (1,732), Thailand (969), Filipina (718), India (555), Pakistan (366), Kemboja (253), Nepal (246), Vietnam (235) dan selebihnya adalah lain-lain negara,"katanya.

Khairul Dzaimee berkata, mana-mana pihak yang bersubahat melindungi warga asing akan dikenakan tindakan tegas.

"Hukuman berat menanti mana-mana individu, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan majikan yang didapati melindungi golongan itu dan mengambil mereka bekerja tanpa dokumen dan pas yang sah.

"Tangkapan dan pendakwaan terhadap majikan ini membuktikan bahawa kita (imigresen) tidak berkompromi dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang ke atas mereka yang menyalahi akta dan peraturan Imigresen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 2:46 PM