123 PATI yang ditahan membabitkan 68 warga Bangladesh, Indonesia (36 orang), Myanmar (7 orang) Nepal (9 orang) dan masing-masing seorang warga Pakistan, Yemen dan India.
123 PATI yang ditahan membabitkan 68 warga Bangladesh, Indonesia (36 orang), Myanmar (7 orang) Nepal (9 orang) dan masing-masing seorang warga Pakistan, Yemen dan India.
Mohd Azam Shah Yaacob

SERAMAI 123 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mengambil peluang bersiar-siar di ibu negara sempena cuti Tahun Baru Cina dicekup pihak berkuasa dalam Ops Bersepadu dijalankan semalam.

Kebanyakan PATI terbabit ditahan ketika bersiar-siar sekitar kawasan KLCC dan Bukit Bintang dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 136 pegawai penguat kuasa Imigresen dan DBKL terbabit dalam operasi bermula jam 3 petang itu.

Katanya, 123 PATI yang ditahan membabitkan 68 warga Bangladesh, Indonesia (36 orang), Myanmar (7 orang) Nepal (9 orang) dan masing-masing seorang warga Pakistan, Yemen dan India.

“Dalam operasi itu, seramai 536 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, seramai 123 PATI berusia antara 25 tahun hingga 45 tahun.

“Antara kesalahan dilakukan seperti tiada dokumen pengenalan diri, salah guna pas, tinggal lebih masa, memiliki kad yang tidak diiktiraf serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Khairul, kesemua PATI yang ditahan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Beliau berkata, sejak 1 hingga 31 Januari lalu, sebanyak 1,353 operasi penguat kuasaan dijalankan JIM.

Katanya, seramai 16,651 orang diperiksa dan seramai 5,091 PATI ditahan.

“Malah dalam tempoh itu juga, JIM turut menahan seramai 83 majikan berikutan didapati menggaji dan melindungi PATI,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 4:14 PM