Rosli Ilham

Chukai: Tiga pekerja sebuah kilang di kawasan Perindustrian Kerteh, Kemaman cedera selepas aras tiga premis itu terbakar hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Muhammad Basri Kamarazaman berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada 11.25 pagi dan 61 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh, Kijal dan Paka dikerah ke lokasi.

Katanya, seorang pekerja tempatan berusia 31 tahun melecur dan cedera di kepala, manakala seorang pekerja Myanmar yang terjun dari aras tiga kerana panik, patah tangan kanan dan cedera di kepala.

Turut cedera seorang lagi pekerja Myanmar.

"Kebakaran itu berlaku pada aras tiga Cj Bio Malaysia Sdn Bhd dan anggota mengambil masa sejam bagi mengawal kebakaran.

"Ketiga-tiga pekerja yang cedera diberi rawatan awal dan dihantar ke Hospital Dungun," katanya hari ini.

Difahamkan ketika kejadian, semua pekerja itu sedang melakukan kerja penyelenggaraan.

Muhammad Basri berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta jumlah kerugian.

KEADAAN luar kilang di kawasan Perindustrian Kerteh yang terbakar hari ini.
KEADAAN luar kilang di kawasan Perindustrian Kerteh yang terbakar hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 7:27 PM