Keadaan rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Batu Putih, Kemaman pagi ini. FOTO ROSLI ILHAM
Keadaan rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Batu Putih, Kemaman pagi ini. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


Kerteh: "Tidak sampai setengah jam di bandar, saya terima panggilan memaklumkan rumah terbakar dan apabila sampai, sedih hati melihat ia musnah," kata Mohd Amran Mohd Nor selepas rumahnya di Kampung Batu Putih, di sini, terbakar, hari ini.

Mohd Amran, 37, berkata, rumah pusaka peninggalan kedua orang tuanya itu terbakar pada 10.30 pagi dan dia tinggal di rumah terbabit bersama abangnya berusia 47 tahun.

"Saya maklumkan kepada abang menyatakan saya mahu ke bandar dan sebaik menerima panggilan saya segera pulang ke rumah.

"Ketika kejadian, abang sempat menyelamatkan diri dan kebakaran itu menyebabkan kami tinggal sehelai sepinggang," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kerteh, Timbalan Penguasa Bomba Khairulhasni Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.35 pagi.

Menurutnya, seramai 18 anggota BBP Kerteh dengan dibantu anggota BBP Paka berusaha memadam kebakaran itu daripada merebak ke rumah bersebelahan.

Katanya, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada 11.33 pagi dan operasi pemadaman ditamatkan pada 11.45 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 3:49 PM