Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - FOTO NSTP
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berharap insentif untuk kenderaan elektrik (EV) akan diberi fokus dalam Bajet 2023.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Miti juga menjangkakan ekosistem industri EV akan lebih baik daripada tahun lalu.

"Bagi pihak Miti sendiri kita memang mengharapkan insentif untuk EV yang dicadangkan sebelum ini dapat diteruskan dan Miti juga ada mengemukan beberapa cadangan baharu mengenai EV kepada Kementerian Kewangan (MOF).

"Saya berharap MOF akan memberi pertimbangan terhadap permintaan atau cadangan daripada Miti serta pemain industri yang bakal memberi manfaat kepada keseluruhan rantaian bekalan EV baik untuk industri mahupun pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Computer Forms Malaysia Berhad (CFM) untuk keseluruhan dengan Energy Absolute Thailand PCL (EA) di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, penganalisis global turut mengunjurkan gabungan sektor EV dan tenaga boleh diperbaharui (RE) global akan bernilai lebih AS$1 trilion (RM4.40 trilion) menjelang 2028.

Justeru, katanya, terdapat pelbagai peluang untuk syarikat memasuki sektor ini dan memanfaatkan minat yang semakin meningkat untuk produk dan perkhidmatan berasaskan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) oleh pengguna, serta teknologi dan aset yang mengutamakan ESG oleh pelabur.

"Untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang sedemikian, kerajaan perlu bekerjasama untuk menyelaraskan rangka kerja perundangan dan kawal selia bagi menggalakkan pelaburan seperti usaha sama antara CFM dan EA ini.

"Gabungan tenaga boleh baharu dan penghijauan pengangkutan awam akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi inklusif yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara Thailand dan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan CFM, Datuk Justin Lim berkata, pihaknya dan EA membentuk syarikat usaha sama (JV), Energy Absolute Malaysia dan bercadang melabur RM5 bilion bagi membangunkan kilang pengeluaran EV dan mengendalikan projek RE di Malaysia.

Beliau berkata, pelaburan besar yang disuntik syarikat senaraian awam tempatan dan konglomerat terkemuka dari Thailand itu membabitkan beberapa fasa pembangunan termasuk fasa pertama di mana syarikat akan membawa masuk 200 bas EV ke Malaysia.

"Pembinaan kilang pengeluaran pula lokasi yang dipertimbangkan adalah di Negeri Sembilan, Selangor atau Melaka.

"JV ini membabitkan pegangan 50:50 dan pembinaan kilang pengeluaran pula dalam tempoh 12 bulan akan datang yang membabitkan keseluruhan ekosistem berkaitan EV dan RE," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 5:41 PM