Mayat mangsa yang dipercayai mangsa serangan buaya di Meludam, Saratok, ditemui awal pagi tadi. FOTO IHSAN JBPM
Mayat mangsa yang dipercayai mangsa serangan buaya di Meludam, Saratok, ditemui awal pagi tadi. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di Kampung Seberang Meludam, Saratok, kelmarin, ditemukan awal pagi tadi dengan keadaan mayatnya tidak sempurna dipercayai dibaham buaya.

Mangsa, Abang Mohd Norazat Abang Salim, 27, ditemukan terapung oleh bapanya sendiri bersama tiga lagi penduduk kira-kira 2 pagi berdekatan loji air Meludam di kawasan hulu sungai.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pemeriksaan menemui kesan gigitan buaya di muka mangsa.

"Mayat mangsa juga dalam keadaan tidak sempurna apabila kedua-dua kaki serta tangannya hilang.

"Mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Difahamkan mangsa memasang pancing di tebing sungai itu, kira-kira 3 petang kelmarin.

Bagaimanapun, mangsa tidak kembali ke rumah hingga malam dan keluarganya membuat laporan polis berhubung kehilangannya.

Polis kemudian memaklumkan kejadian itu kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok pada jam 7.25 pagi, semalam.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dengan pencarian ditumpukan sepanjang Sungai Meludam.

Pasukan SAR hanya menemui kasut serta peralatan memancing serta kasut milik mangsa di tepi sungai dan seekor buaya bersaiz besar turut dilihat berdekatan lokasi itu.

Berikutan itu, Sarawak Forestry Corporation (SFC) turut dimaklumkan berhubung penemuan buaya itu kerana dikhuatiri mengancam keselamatan pasukan SAR.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 8:12 AM