MAYAT mangsa ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi dia dikatakan disambar buaya. FOTO Ihsan bomba
MAYAT mangsa ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi dia dikatakan disambar buaya. FOTO Ihsan bomba
Abdul Rahemang Taiming

MAYAT seorang wanita yang disyaki dibaham buaya ditemukan di Kampung Sungai Tuda Lama, Kalabakan, hari ini

Mayat Nur Hayati Talib, 50, ditemukan penduduk kampung bersama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 2.10 petang.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Penolong Kanan Bomba I Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anak saudara mangsa pada jam 11.38 pagi.

Katanya, anggota Bomba Sukarela Kawasan Kalabakan digerakkan ke lokasi kejadian sebelum operasi pencarian dimulakan yang turut dibantu penduduk kampung.

"Selepas hampir tiga jam operasi mencari dijalankan, akhirnya mayat mangsa ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi dia dikatakan disambar reptilia terbabit.

"Anggota badan mangsa masih dalam keadaan lengkap dan sempurna, cuma terdapat kesan calar pada bahagian kepala dan pinggang dipercayai akibat gigitan buaya berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini .

Faizal berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penduduk kampung berkenaan supaya mengambil langkah keselamatan berikutan insiden serangan buaya itu.

"Penduduk perlu sentiasa berwaspada semasa melakukan apa juga aktiviti termasuk memancing di sungai yang dikhuatiri menjadi habitat buaya selain aktiviti mandi-manda adalah sangat tidak digalakkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 6:45 PM