MANGSA maut selepas terjatuh dari tingkat 35 kondominium.FOTO ihsan polis
MANGSA maut selepas terjatuh dari tingkat 35 kondominium.FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Kanak-kanak lelaki warga asing maut selepas terjatuh dari tingkat 35 kondominium di Pandan Perdana, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan pada 2.20 petang.

"Kami menerima maklumat daripada pengawal keselamatan di kondominium berkenaan yang menemui kanak-kanak lelaki berusia empat tahun berkenaan yang dipercayai terjatuh dari tingkat 35 bangunan terbabit.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati ibu mangsa iaitu wanita warga asing berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pembantu rumah sambilan membawa mangsa ke tempat kejadian untuk bekerja membasuh dan melipat kain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, sebelum kejadian, ibu mangsa meninggalkan anaknya itu tidur bersendirian di ruang tamu sebelum turun ke tingkat bawah untuk membasuh pakaian di dobi.

"Semasa berada di tingkat bawah, ibu mangsa melihat orang ramai berkerumun di kawasan aras bawah sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa terbabit adalah anaknya.

"Mangsa dipercayai bangun dari tidur dan membuka pintu gelangsar kemudian memanjat kerusi yang berada di balkoni," katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian, bapa mangsa sedang bekerja di Petaling Jaya.

"Ibu dan bapa mangsa sudah menetap di Malaysia sejak lima tahun lalu. Kanak-kanak itu adalah anak bongsu dari tiga adik-beradik.

"Adik-beradik mangsa yang lain pula ditinggalkan bersama nenek mereka di negara asal," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk proses bedah siasat.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak. Selain kertas siasatan jenayah, laporan kematian mengejut juga sudah dibuka.

"Orang ramai dinasihatkan supaya menjaga tingkah laku anak-anak dengan tidak meletakkan sesuatu yang mendatangkan bahaya kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 5:27 PM