GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi kategori satu hingga lima menunjukkan peningkatan 33 peratus dalam tempoh 10 Julai hingga semalam.

Dalam laporan Minggu Epidemiologi (ME) 28/2022 itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh terbabit, jumlah kes baharu turut meningkat 23.4 peratus iaitu 26,355 kes berbanding 21,355 kes pada minggu sebelumnya.

Menurutnya, peningkatan paling tinggi membabitkan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu sebanyak 26.6 peratus atau 30 kes kepada 38 kes manakala bagi penularan tempatan meningkat 23.4 peratus (21,325 kes kepada 26,317 kes).

"Bagi peratusan pengisian katil untuk fasiliti Covid-19, penggunaan katil bukan kritikal meningkat dua peratus, diikuti Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat tiga peratus serta di Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) kekal dan tiada perubahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagi kes positif yang dipantau melalui Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), mereka menerima peningkatan kedatangan pesakit sebanyak 23.1 peratus.

"Bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat 41.3 peratus dan pesakit yang dirujuk CAC ke PKRC dan hospital pula meningkat 18.2 peratus.

"Trend kes aktif yang dipantau secara maya (CAC maya) pada akhir ME 28/2022 pula meningkat 33.8 peratus berbanding pada akhir minggu lalu iaitu daripada 53,306 kes kepada 71,326 kes," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, bilangan kes sembuh turut meningkat 16.8 peratus iaitu daripada 16,379 kes kepada 19,138 kes.

"Bilangan kes kematian pada ME 28/2022 menunjukkan peningkatan 2.6 peratus (38 kes kepada 39 kes) dan purata kes aktif setiap hari bagi ME 28/2022 adalah 38,110 iaitu terdapat peningkatan 18.6 peratus berbanding minggu sebelumnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 4:16 PM