GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Situasi Covid-19 di negara ini dilihat semakin pulih apabila kebanyakan indikator pada minggu epidemiologi (ME) 39/2022 menunjukkan penurunan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ME 39/2022 atau dalam tempoh antara 25 September hingga Sabtu lalu itu menunjukkan kemasukan pesakit Covid-19 bagi kategori satu dan dua menurun sebanyak 7.7 peratus.

Selain itu, penurunan peratusan juga dapat dilihat bagi kemasukan pesakit kategori tiga hingga lima yang menurun sebanyak 13 peratus.

"Situasi itu menjadikan jumlah penggunaan katil turut menurun iaitu penurunan satu peratus pada penggunaan katil bukan kritikal dan di katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun tiga peratus.

"Selain itu, tiada perubahan atau kekal sifar peratus pada penggunaan katil di Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) serta pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) menurun 0.4 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes positif yang dipantau di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara turut menunjukkan penurunan secara keseluruhan.

"Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak sembilan peratus, bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 53.5 peratus manakala terdapat sedikit peningkatan bagi bilangan kes yang dirujuk CAC ke hospital sebanyak 8.2 peratus," katanya.

Bagi trend kes aktif harian Covid-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya) pula, pada akhir ME 39/2022 ia menunjukkan penurunan sebanyak 10.8 peratus berbanding minggu sebelumnya (dari 30,819 kes kepada 27,486 kes).

"Bilangan kes sembuh pada ME 39/2022 menurun sebanyak 8.4 peratus (13,677 kes kepada 12,534 kes), bilangan kes baharu menurun sebanyak 5.2 peratus (12,963 kes kepada 12,291 kes) dan bilangan kes tempatan menurun sebanyak 5.2 peratus (12,934 kes kepada 12,260 kes).

"Bagaimanapun bilangan kes import meningkat sebanyak 6.9 peratus (29 kes kepada 31 kes), serta bilangan kes kematian pada ME 39/2022 menurun sebanyak 35.0 peratus (40 kes kepada 26 kes).

"Purata kes aktif setiap hari bagi ME 39/2022 adalah 24,713 iaitu terdapat penurunan sebanyak 2.5 peratus berbanding minggu sebelumnya," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan hasil survelan di lokasi sentinel seluruh negara mendapati sebanyak 93 sampel dalam kalangan pesakit Influenza (ILI) dikesan positif Covid-19 dengan kadar positif 12.7 peratus.

"Namun, tiada sampel Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dikesan positif Covid-19 pada minggu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 12:43 PM