DR Noor Hisham. FOTO Akrib Bernama
DR Noor Hisham. FOTO Akrib Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kes harian baharu Covid-19 meningkat sebanyak 27.9 peratus dalam tempoh 3 hingga 9 Julai lalu berbanding minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kes baharu yang dilaporkan dalam tempoh itu adalah 21,355 kes berbanding 16,694 kes pada 26 Jun hingga 2 Julai.

"Bilangan kes sembuh bagi 3 hingga 9 Julai turut meningkat sebanyak 14.6 peratus iaitu daripada 14,293 kes kepada 16,379 kes," menurutnya dalam kenyataan mengenai situasi semasa Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, ini menjadikan kumulatif kes baharu kini sebanyak 4,592,710 manakala kes sembuh pula ialah 4,521,579.

Beliau berkata, kes kematian juga menunjukkan peningkatan sebanyak 46.2 peratus iaitu daripada 26 kepada 38 kes pada minggu lalu, menjadikan jumlah kematian kini adalah 35,809.

Menurut Dr Noor Hisham, purata kes aktif setiap hari bagi minggu lepas ialah 32,145 iaitu peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Beliau berkata, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk turut meningkat sebanyak 15 peratus pada minggu lalu dengan pesakit kategori 1 dan 2 meningkat 14 peratus manakala pesakit kategori 3, 4 dan 5 sebanyak 17 peratus.

"Untuk trend kes aktif harian Covid-19 yang dipantau secara maya oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Maya pada minggu lalu, ia meningkat 23.4 peratus berbanding pada akhir minggu sebelumnya (dari 43,203 kes kepada 53,306 kes)," katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata, purata nilai kadar kebolehjangkitan (RT) menunjukkan peningkatan sebanyak 4.8 peratus pada minggu lepas berbanding minggu sebelumnya.

Katanya, sehingga kini, terdapat 13 kluster Covid-19 yang masih aktif dan dipantau di negara ini.

Sempena sambutan Aidiladha, Dr Noor Hisham mengingatkan seluruh rakyat bahawa kes harian Covid-19 kini semakin meningkat dan individu yang tidak bergejala berkemungkinan menjadi pembawa virus itu.

"Meskipun telah berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik, perlu diingatkan bahawa Covid-19 masih lagi menjadi musuh utama dan usaha memerangi penyakit ini masih berterusan.

"Justeru, masyarakat digalakkan untuk melakukan ujian kendiri sebelum pulang ke kampung untuk beraya," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya memakai pelitup muka di kawasan sesak bagi melindungi golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak daripada dijangkiti Covid-19.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 5:02 PM