Nor Amalina Alias

Pasir Puteh: Aktiviti pertanian dilihat semakin mendapat tempat dalam masyarakat susulan wabak Covid-19, sekali gus meningkatkan sumber kekayaan baru melalui pertanian hiliran seperti kelapa.

Justeru itu, kerajaan negeri melihat penanaman kelapa wajar diberi perhatian dengan memperuntukkan RM400,000 dalam kempen tanam kelapa Al-Falah bagi tahun ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, agihan itu membabitkan 13 Dewan Undangan Negeri (Dun) yang mempunyai kawasan pantai dan tiga Dun tambahan iaitu Limbongan, Gaal dan Selising yang sesuai ditanam kelapa.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan tanaman kelapa di negeri ini dapat dimanfaatkan di kawasan seluas 200 hektar di 16 Dun itu dengan peruntukan diperoleh daripada Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB).

Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail (tengah) menyerahkan anak pokok kelapa pandan kepada penerima ketika majlis penyerahan tanam kelapa Al- Falah di Pejabat Jabatan Pertanian Daerah Pasir Puteh. FOTO / Nor Amalina Alias
Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail (tengah) menyerahkan anak pokok kelapa pandan kepada penerima ketika majlis penyerahan tanam kelapa Al- Falah di Pejabat Jabatan Pertanian Daerah Pasir Puteh. FOTO / Nor Amalina Alias

"Bagi fasa pertama ini, kita agihkan kelapa jenis pandan yang lebih cepat mengeluarkan hasil iaitu setahun lebih awal daripada jenis kelapa lain dan lambat tinggi.

"Benih dan baja sudah dibeli dan kita tunggu peserta sediakan tapak supaya dapat rancakkan lagi tanaman kelapa sedia ada dan sebagai menggantikan kelapa sudah tua," katanya pada sidang media di Jabatan Pertanian Pasir Puteh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, Norbahani Zakaria.

Mohd Saripudin berkata, pihaknya sedang mengagihkan anak pokok secara berperingkat dengan menyasarkan peserta di kalangan penanam kelapa sedia ada khususnya yang tinggal di kawasan pesisir pantai.

Katanya, tanaman itu bukan saja meningkatkan ekonomi penduduk, malah mengurangkan kebergantungan import kelapa daripada negara jiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 8:08 PM