ZAKI (empat kanan) melepaskan anak penyu agar di Lumut. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
ZAKI (empat kanan) melepaskan anak penyu agar di Lumut. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Noor Hidayah Tanzizi

KADAR pendaratan penyu agar atau penyu hijau untuk bertelur di Perak dijangka meningkat pada tahun ini berdasarkan trend direkodkan tahun lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Zaki Mokri berkata, 103 penyu direkodkan mendarat di Pantai Pasir Panjang, Segari dan Teluk Ketapang, Pangkor, tahun lalu dengan menghasilkan 12,000 telur.

Menurutnya, tahun lalu juga menunjukkan kadar penetasan telur tertinggi iaitu 75 peratus daripada jumlah telur yang dihasilkan, sekali gus menjadi kadar tertinggi dalam tempoh lima tahun.

“Jumlah sarang yang ditemui pula lebih 600 sarang pada tahun lalu dan seekor penyu boleh mendarat lima hingga lapan kali untuk bertelur dengan berupaya menghasilkan 600 hingga 800 telur semusim.

“Jumlah telur yang direkodkan tahun lalu juga lebih banyak berbanding 2018 yang hanya merekodkan 3,800 telur sahaja dan untuk Januari lalu sudah ada 1,500 telur dengan 15 sarang.

“Kita jangka ia akan meningkat pada tahun ini dan fokus pada kadar penetasan penyu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Hari Pengembangan Jabatan Perikanan Perak dan Malakoff Save Our Sea di Dataran Teluk Senangin, Lumut, hari ini.

Pada program berkenaan, 200 anak penyu agar berusia sebulan dilepaskan ke laut dan turut diadakan aktiviti menbersihkan kawasan pantai yang disertai 300 peserta daripada pelbagai agensi, pelajar institusi awam, komuniti nelayan dan penduduk setempat.

Zaki berkata, pendaratan penyu di Perak lebih tinggi di Pantai Pasir Panjang, Segari berbanding di Teluk Ketapang, Pangkor dan pihaknya turut berhadapan dengan cabaran kecurian telur penyu.

“Pada 2018 banyak berlaku kecurian telur dan tahun lalu juga ada tetapi dengan usaha kakitangan yang meronda serta kerjasama nelayan kecurian dapat dikurangkan.

“Justeru, kami berharap kerajaan negeri dapat segera mewartakan kaedah-kaedah perikanan (penyu) di Perak supaya pengurusan dan kawal selia dapat dikuatkuasakan.

“Ia juga dapat meningkatkan konservasi penyu supaya tidak pupus dan tiada kecurian telur selain memerlukan kesedaran orang ramai dalam perkara ini,” katanya yang memaklumkan pihaknya sudah membawa perkara itu kepada kerajaan negeri tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Zaki berkata, pihaknya juga dalam usaha untuk mengembalikan Teluk Senangin sebagai lokasi pendaratan penyu selepas pantai berkenaan sudah tidak dinaiki penyu sejak 15 tahun lalu.

Katanya, Teluk Senangin antara lokasi pendaratan penyu dengan antara 20 hingga 30 penyu agar setahun pada 1980-an, namun sejak ia dikunjungi ramai reptilia itu sudah tidak mendarat kerana penyu sensitif dengan gangguan, bising dan cahaya selain faktor kebersihan.

“Orang ramai perlu mempunyai kesedaran supaya tidak membuang sampah yang boleh menjadi ancaman besar kepada penyu dan hidupan laut lain selain tidak mahu laut tercemar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 12:14 PM