Mohd Firdaus Ibrahim

Solenzo (Burkina Faso): Biarpun bekerja tanpa gaji, pusat tahfiz di sini tetap meneruskan usaha menghasilkan ilmuan agama termasuk penghafaz al-Quran.

Penekanan berkaitan agama dititik beratkan rentetan isu negara yang dihimpit kemiskinan mampu menghanyutkan akidah penganut Islam terutama golongan remaja.

Itu pegangan Pengurus Pusat Tahfiz Miftah Ulum, Ousmane Guire yang berkata, biarpun tidak menerima gaji, dia dan guru pusat tahfiz terbabit tetap komited untuk menyuburkan Islam dalam kehidupan penduduk terutama kalangan kanak-kanak dan remaja.

"Dalam keadaan mencabar dihimpit kemiskinan, kanak-kanak dan remaja perlu dipasak hati mereka untuk mendalami Islam, menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian mereka.

"Kita tidak mahu kanak-kanak dan remaja di bumi ini terpesong akidah mereka kerana disebabkan kekurangan makanan dan dihimpit kemiskinan berpanjangan," katanya kepada wartawan ketika melawat pusat tahfiz berkenaan.

Menurutnya, pusat tahfiz itu mempunyai 900 pelajar dan 13 guru.

"Ia ditubuhkan sejak tahun 1982 serta diasaskan bapa saya dan sehingga kini ribuan pelajar sudah menghafal al-Quran," katanya.

Sempena Aidiladha, pusat tahfiz itu ditutup selama lima hari namun atas permintaan wartawan, Ousmane mengumpulkan beberapa pelajarnya yang tinggal di kawasan berhampiran untuk memperdengarkan bacaan dan hafalan al-Quran mereka.

ANTARA kanak-kanak dan remaja yang mempelajari Al-Quran bersama Ousmane Guire di pusat Tahfiz MIftah Ulum. FOTO Asyraf Hamzah
ANTARA kanak-kanak dan remaja yang mempelajari Al-Quran bersama Ousmane Guire di pusat Tahfiz MIftah Ulum. FOTO Asyraf Hamzah

Dalam serba kekurangan, bacaan al-Quran mereka yang baik nyata menyentuh hati wartawan.

Mana tidaknya, selain kelunakan suara dan penghayatan dalam setiap bacaan mereka, usaha memastikan Islam tegak di Bumi Orang Jujur atau semua kenali sebagai Burkina Faso yang sangatlah daif jika dibandingkan dengan Malaysia membuatkan air mata wartawan mengalir laju.

Sementara itu, kebimbangan berkaitan terpesongnya akidah nyata berasas apabila sejak puluhan tahun dahulu, kerajaan negara ini dikuasai bukan Muslim biarpun majoriti penduduk beragama Islam.

Semua pusat tahfiz di negara ini juga tidak mendapat sokongan atau dana daripada kerajaan.

Pihak berkuasa agama yang enggan namanya disiarkan atas faktor keselamatan berkata, untuk memasuki sekolah kerajaan pada tahun 1980-an, mereka dipaksa untuk menukar agama.

"Paksaan itu (tukar agama) kini tidak sekeras dahulu namun sekolah kerajaan hanya mendoktrinkan fahaman atau ideologi penjajah dan ajaran Islam tidak diajar di situ.

"Ramai anak Muslim yang dihantar ke sekolah kerajaan meninggalkan Islam. Ini kebimbangan kami," katanya.

Menurutnya, pekerjaan di sektor kerajaan dikuasai sepenuhnya bukan Muslim dan ramai orang Muslim meninggalkan Islam untuk mendapatkan pekerjaan.

"Negara majoriti Islam, namun politik dikuasai bukan Muslim. Jadi kita sebenarnya terasing di bumi sendiri," katanya.

ANTARA kanak-kanak dan remaja yang mempelajari Al-Quran bersama Ousmane Guire di pusat Tahfiz MIftah Ulum. FOTO Asyraf Hamzah
ANTARA kanak-kanak dan remaja yang mempelajari Al-Quran bersama Ousmane Guire di pusat Tahfiz MIftah Ulum. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 12:21 PM
OUSMANE Guire (tiga kanan) merupakan tenaga pengajar di pusat Tahfiz MIftah Ulum di Kampung Ban, Solenzo. FOTO Asyraf Hamzah
OUSMANE Guire (tiga kanan) merupakan tenaga pengajar di pusat Tahfiz MIftah Ulum di Kampung Ban, Solenzo. FOTO Asyraf Hamzah