Wartawan NSTP

Kuala Lumpur: Sambutan Aidiladha semalam, disambut meriah di seluruh negara dengan dimulai solat sunat disusuli ibadat korban.

Bukan saja orang ramai malah dalam pemimpin turut bersama-sama memenuhi ruang solat di masjid.

Di Kota Bharu, Kelantan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Ismaili, Pasir Pekan.

Keberangkatan tiba baginda jam 8.35 pagi diiringi Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob selain Ketua Polis Kelantan Datuk Hassanudin Hassan.

SULTAN Muhammad V bersalaman dengan rakyat selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Ismaili, Pasir Pekan.
SULTAN Muhammad V bersalaman dengan rakyat selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Ismaili, Pasir Pekan.

Kira-kira 2,000 jemaah memenuhi masjid berkenaan untuk sama-sama menunaikan solat Aidiladha diimamkan Imam Tua Masjid Al-Ismaili, Baharuddin Abdullah.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyertai ribuan jemaah di Masjid Negara.

Dr Mahathir yang mengenakan persalinan lengkap baju Melayu ungu tiba pada jam 8.10 pagi sebelum menyertai jemaah di dewan solat utama.

Beliau turut diiringi isterinya, Tun Hasmah Mohamad Ali.

DR Mahathir   mengaminkan doa selepas menunaikan solat hari raya Aidiladha di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
DR Mahathir mengaminkan doa selepas menunaikan solat hari raya Aidiladha di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula bersama kira-kira 500 penduduk Taman Cempaka, Ampang serta kawasan sekitar menunaikan solat Aidiladha di Surau Al Falah di taman perumahan berkenaan.

ORANG ramai yang mengambil bahagian menjalankan tugas masing masing sempena ibadah korban  di Surau al-Falah Taman Cempaka.
ORANG ramai yang mengambil bahagian menjalankan tugas masing masing sempena ibadah korban di Surau al-Falah Taman Cempaka.

Di Kuantan, Pahang, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut mencemar duli berangkat ke Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota.

Baginda bersama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba pada jam 8.15 pagi sebelum bersama 1,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha diimamkan Ustaz Mohd Lokman Ahmad lima minit kemudian.

Tengku Abdullah yang berbaju Melayu kelabu kemudian menyertai jemaah menunaikan ibadat korban sebelum meninggalkan majlis jam 9.45 pagi.

PENDUDUK cuba merebahkan lembu untuk upacara korban di pekarangan Kediaman Seri Kenangan.
PENDUDUK cuba merebahkan lembu untuk upacara korban di pekarangan Kediaman Seri Kenangan.

Di Johor Bahru, Johor Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Pasir Pelangi di sini, bersama hampir 1,000 umat Islam.

Keberangkatan baginda diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman, Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar dan suami Tunku Puteri Johor, Dennis Muhammad Abdullah.

Sementara itu, di Shah Alam, Selangor, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong bersama kira-kira 7,000 umat Islam.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut berangkat mengiringi baginda.

Solat sunat Aidiladha diimamkan Pegawai Hal Ehwal Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sheikh Abdul Karim Omar Al-Maki dan khutbah bertajuk ‘Inilah Korbanku, Terimalah Ya Allah’ disampaikan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

PENDUDUK setempat bergotong-royong mengangkat daging lembu korban  di Masjid Jamek Shaik Eusof Dhoby Ghout, Pulau Pinang.
PENDUDUK setempat bergotong-royong mengangkat daging lembu korban di Masjid Jamek Shaik Eusof Dhoby Ghout, Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 10:55 AM