KERETA dipandu Nur Ain Fitriah yang terbabit kemalangan dengan lori muatan tanah di Kampung Kubang Telaga, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
KERETA dipandu Nur Ain Fitriah yang terbabit kemalangan dengan lori muatan tanah di Kampung Kubang Telaga, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Bachok: Guru Bahasa Arab yang maut dalam kemalangan dengan lori muatan tanah sepatutnya menamatkan pelajaran, September ini.

Abang mangsa, Mohd Afiq Akmal Zakaria, 26 berkata, arwah adiknya, Nur Ain Fitriah Zakaria, 24 sedang mengikuti pengajian peringkat Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sambil bekerja sebagai guru Bahasa Arab di sebuah Sekolah Menengah Ugama (Agama) (SMU A) di Kampung Chap.

Lebih menyayat hati, kemalangan berlaku hanya dua kilometer dari rumah mangsa.

Mohd Afiq berkata, dia mengetahui kejadian daripada seorang penduduk kampung kerana kereta yang dipandu mangsa adalah miliknya.

"Achik (panggilan untuk mangsa) baru sebulan mengajar di sekolah itu selepas tamat pengajian Bahasa Arab di Mesir, saya pun sama cuma kami mengajar berlainan sekolah, saya di SMU(A) Nurul Huda, Bukit Yong, Pasir Puteh.

"Kali terakhir jumpa arwah malam tadi, dia nampak lebih pendiam berbanding biasa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di Kampung Kubang Telaga, di sini, hari ini.

Mohd Afiq berkata, ahli keluarga termasuk ibu bapa mereka masih terkejut dengan kehilangan arwah namun reda dengan kejadian yang berlaku.

Katanya, laluan itu adalah laluan harian mangsa untuk ke sekolah.

"Arwah anak kedua daripada lima beradik, juga baru bertunang dan sepatutnya melangsungkan perkahwinan Januari tahun depan," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat.

Terdahulu, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas kereta Perodua Myvi dipandu bertembung dengan lori muatan tanah ketika pulang daripada tempat kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2024 @ 10:38 PM