Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tindakan sekumpulan remaja yang menjadikan jalan persimpangan lampu isyarat Kepala Batas, di sini sebagai litar lumba mengundang padah apabila mereka ditahan polis, awal pagi hari ini.

Perbuatan mereka itu dikesan polis kira-kira 12 tengah malam tadi yang kemudian menahan 203 orang untuk pemeriksaan bersama motosikal masing-masing pada jam 3 pagi.

Bagaimanapun, ada yang berjaya melarikan diri meninggalkan motosikal mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar mengadakan operasi Op Samseng Jalanan di sekitar kawasan itu bermula 12 tengah malam hingga 7 pagi hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi itu, sebanyak 143 motosikal diperiksa yang membabitkan pemeriksaan seramai 203 orang termasuk pembonceng dan penunggang.

"Daripada jumlah itu, lapan daripadanya adalah remaja perempuan, manakala selebihnya adalah lelaki yang berusia antara 15 hingga 30-an.

"Sebanyak 295 saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan termasuk mengubah suai motosikal, menunggang di bawah umur serta tidak memiliki lesen.

"Kita turut menyita 22 motosikal yang ditinggalkan ketika pemeriksaan dilakukan dan kita akan kenal pasti pemiliknya serta memanggil ibu bapa masing-masing dan mengeluarkan saman kepada pemilik motosikal berkenaan," katanya ketika ditemui selepas operasi berakhir.

Ahmad Shukri berkata, 30 orang yang ditahan adalah pelajar sekolah yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal.

Beliau berkata, kebanyakan mereka menetap di sekitar daerah ini, malah ada yang datang dari Pokok Sena dan paling jauh dari Kangar, Perlis, yang mungkin datang ke sini kerana pulang bercuti.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan kemudian dibebaskan selepas ibu bapa mereka hadir menjemput anak masing-masing di perkarangan Balai Polis Kepala Batas, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 9:31 AM
Sebahagian penunggang motosikal yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dengan aktiviti lumba haram di persimpangan lampu isyarat Kepala Batas, Alor Setar. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Sebahagian penunggang motosikal yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dengan aktiviti lumba haram di persimpangan lampu isyarat Kepala Batas, Alor Setar. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI