Polis memeriksa motosikal penduduk di sekitar Peraling Jaya.
Polis memeriksa motosikal penduduk di sekitar Peraling Jaya.
Yusmizal Dolah Aling


Petaling Jaya: Sebanyak 122 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Petaling Jaya dalam penguatkuasaan Op Didik di sekolah sekitar Taman Medan dan Jalan PJS 2 dan 3, di sini, hari ini.

Dalam operasi itu, seramai 210 individu membabitkan pelajar, ibu bapa dan penjaga yang menunggang dan membonceng motosikal diperiksa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, antara saman yang dikeluarkan adalah tidak memakai topi keledar, kesalahan tiada lesen memandu, lesen kenderaan tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, dan tiada cermin sisi.

"Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya ingin mengingatkan kepada semua pengguna jalan raya terutamanya pelajar, ibu bapa dan penjaga agar mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Ia juga bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya khususnya di kawasan pentadbiran Petaling Jaya terjamin," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, penguatkuasaan Op Didik akan dijalankan secara berterusan bagi mendidik masyarakat mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 9:04 PM