HAJAR Nursyahirin yang meninggal dunia bersama anak lelakinya, dipercayai dikelar suami. FOTO Ihsan FB.
HAJAR Nursyahirin yang meninggal dunia bersama anak lelakinya, dipercayai dikelar suami. FOTO Ihsan FB.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : "Kau apa hal?" Itu jeritan terakhir suspek kejadian kelar leher isteri dan bayi lelakinya yang didengar jiran sebelum kejadian itu berlaku.

Ahmad Zaini Ismail, 39, berkata, dia yang berada di rumahnya di hadapan rumah pasangan itu, terdengar jeritan lelaki itu dipercayai ditujukan kepada mangsa.

"Ketika itu saya di depan rumah, memang saya dengar suara lelaki itu menjerit sebelum kejadian berlaku," katanya terkejut.

Menurut Ahmad Zaini yang bekerja sebagai mekanik, kira-kira jam 3 petang semalam, dia membaiki kereta suspek di rumah lelaki itu dan ketika itu suspek berkelakuan biasa sambil mendukung bayi lelakinya yang berusia dua bulan itu.

"Saya nampak dia biasa saja, kami ada berbual ketika itu, saya memang tidak sangka perkara ini berlaku," ceritanya.

Anak Ahmad Zaini, Mohd Noor Haikal, 14, pula berkata, dia yang turut berada di hadapan rumah sebelum ke sekolah ada melihat suspek lelaki mengheret isterinya dari dalam rumah.

Katanya, mangsa wanita ketika itu sudah tidak bergerak dan berlumuran darah sebelum ditinggalkan suspek di hadapan pintu rumah.

"Saya kemudian dengar anak mereka menangis dan nampak suspek masuk ke dalam rumah mengambil anaknya dan kemudian meletakkan bayi itu di tepi ibunya.

"Saya nampak suspek pegang pisau pemotong daging, tetapi saya takut dan terus bergerak menaiki motosikal bersama abang saya untuk ke sekolah.

"Saya tidak mahu masuk campur, tetapi saya tidak sangka anak mereka juga turut dicederakan," ceritanya yang kemudian tidak jadi ke sekolah kerana trauma.

Sementara itu, Rosimawati Ramli, 36, yang juga pemilik warung sarapan pagi di hadapan lokasi kejadian berkata, suspek ada datang ke warung itu untuk bersarapan kira-kira 7 pagi semalam dan turut membayar makanan pelanggan lain.

"Saya terkejut dia kata nak belanja pelanggan lain sebab dia tak pernah buat begitu walaupun dia seorang yang baik.

"Ketika itu, dia bayar RM20 untuk nasi lemak dan lontong yang dibeli pelanggan," katanya.

Suspek lelaki berusia 25 tahun itu kemudian ditahan polis kira-kira jam 2.45 petang tadi di kawasan Permas Jaya.

Terdahulu, gambar dan video suspek menaiki motosikal dalam keadaan berbogel tular di media sosial dipercayai ketika melarikan diri sejurus insiden kelar terbabit.

Berita berkaitan:

  • Mungkin menantu ada masalah di tempat kerja - Bapa mangsa
  • Lelaki kelar isteri, bayi ditahan bersama pisau pemotong daging
  • Kelar isteri, bayi sebelum melarikan diri dalam keadaan berbogel
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 8:36 PM