RUDIRIADI Rusli menunjukkan lokasi adiknya ditemukan berlumuran darah.
RUDIRIADI Rusli menunjukkan lokasi adiknya ditemukan berlumuran darah.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Hanya Allah saja tahu perasaan seorang ibu melihat anaknya terbaring dalam keadaan menyayatkan hati," kata Samsinar Bujang, 63 ibu kepada lelaki yang ditemukan mati dengan kesan kelar di Kampung Desa Makmur, Majidee di sini, hari ini.

Katanya, keluarganya menyedari kejadian menimpa anak lelakinya itu, Ruhaizat Rusli, 26, pada kira-kira 6 pagi selepas mendengar suara wanita menjerit meminta tolong.

Katanya, apabila meninjau di luar rumah, ahli keluarganya mendapati Ruhaizat terbaring kaku.

"Kali terakhir saya melihat Ruhaizat pada jam 3 pagi, ketika itu saya ke dapur untuk minum air kerana badan berasa panas dan tidak dapat tidur lena.

"Ketika itu isteri Ruhaizat ke tandas dan memintanya membawa sabun," katanya ketika ditemui di rumahnya petang tadi.

Samsinar berkata, dia yang bangun pada jam 6 pagi untuk mengambil wuduk terkejut terdengar suara wanita menjerit meminta tolong.

"Anak-anak saya juga terjaga dan meninjau ke luar rumah. Kami terkejut melihat Ruhaizat terbaring berlumuran darah dan bergegas membawanya ke hospital.

"Malangnya Ruhaizat tidak dapat diselamatkan, saya sedih melihat keadaannya termasuk memiliki kesan kelar dan kecederaan di dada," katanya.

Samsinar berkata, dia sedih dan terkejut dengan kejadian yang menimpa anak bongsu daripada lima beradik itu.

"Ruhaizat seorang yang penyayang. Sebelum ini Ruhaizat dan isterinya pernah berselisih faham namun kami tidak mahu menuduh sesiapa. Biar polis buat siasatan," katanya.

Sementara itu, abang sulung mangsa, Rudiriadi Rusli, 41, berkata adiknya yang bekerja kilang bercuti semalam kerana sakit kaki.

"Kami berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang mengakibatkan kematian adik kami," katanya.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, mangsa ditemukan ditemukan di sebuah rumah setinggan tidak bernombor yang terletak di hadapan kediamannya.

Katanya, pihaknya menerima laporan kes berkenaan pada 8.25 pagi dan bergegas ke lokasi.

Menurutnya, pemeriksaan menemukan pemotong kertas dan serpihan mata pisau di tempat kejadian.

Isteri mangsa yang berusia 30-an ditahan bagi membantu siasatan.

Mayat dihantar ke hospital berdekatan untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita berkaitan

  • Lelaki ditemukan mati dengan kesan kelar, isteri disiasat
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 8:12 PM