MOHD Abu Samah (lima kiri)  menyampaikan sumbangan kepada wakil Shahnun Hanif (tiga kiri) untuk Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Abu Samah (lima kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil Shahnun Hanif (tiga kiri) untuk Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Kelantan menyampaikan sumbangan sebanyak RM14,250 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima, hari ini.

Pengurus Besar AIM Wilayah Kelantan, Mohd Abu Samah Mohd Daud berkata, sumbangan berkenaan diberikan bagi membantu meringankan beban rakyat Palestin yang dilanda perang.

Katanya, sumbangan itu dikutip menerusi penjualan mafla dan kutipan peribadi daripada 225 kakitangan dan usahawan di bawah AIM di seluruh Kelantan.

"Alhamdulillah, kutipan ini dibuat pada Oktober sehingga akhir tahun lalu sebelum diserahkan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima hari ini.

"Diharapkan dengan sumbangan ini dapat membantu dan meringankan beban rakyat Palestin," katanya pada sidang media di Majlis Penyerahan Replika Cek di sini, hari ini.

Sumbangan diserahkan Mohd Abu Samah kepada wakil Media Prima Berhad (MPB) Kelantan, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pejabat Pengerusi MPB, Azlan Abdul Aziz berkata, MPB melalui Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima sentiasa komited untuk membantu rakyat dan mangsa kekejaman di Gaza.

Katanya, sumbangan ini dengan kerjasama bersama agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpengalaman luas serta mempunyai kepakaran untuk menjalankan misi di wilayah itu.

"Terkini sebanyak RM1.9 juta sudah diedarkan untuk pembelian perubatan, makanan, air bersih dan barangan keperluan asas yang amat diperlukan. Bantuan ini disalurkan dengan kerjasama Mercy Malaysia, Mycare dan Malaysian Relief Agency.

"MPB ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada AIM Kelantan dan juga penyumbang di atas sumbangan yang diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 4:42 PM