Orang ramai membeli belah di pasar raya sekitar Shah Alam bagi mendapatkan barang keperluan harian. FOTO FAIZ ANUAR
Orang ramai membeli belah di pasar raya sekitar Shah Alam bagi mendapatkan barang keperluan harian. FOTO FAIZ ANUAR
Amir Abd Hamid dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pemberian lebih RM70 bilion subsidi tahun ini mampu mengurangkan kos sara hidup terutama golongan rentan yang terbeban.

Peniaga, Mohd Izzuan Farhan Jaharuddin, 35, berkata, inisiatif kerajaan ini secara tidak langsung mengurangkan beban terutama golongan B40 yang terkesan selepas pasca pandemik Covid-19.

"Ramai termasuk saya sendiri terkesan akibat pandemik Covid-19 yang lalu, baru sahaja cuba untuk memulihkan ekonomi keluarga namun kini terkesan dengan inflasi.

"Tindakan subsidi yang diberikan kerajaan amat baik dan mampu mengurangkan kos terutama dalam pembelian bahan mentah," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, penuntut universiti, Athirah Amani Zahani,22 berkata, walaupun bukan secara langsung terkesan dengan inflasi namun sebagai penuntut universiti yang tinggal jauh dari keluarga turut menyambut baik tindakan pemberian subsidi oleh kerajaan.

"Ramai orang terlepas pandang perkara ini, kami penuntut universiti juga turut merasa beban turutama ketika membeli makan dan minum ketika berada di kampus.

"Saya sangat menyambut baik pemberian subsidi, sekurang-kurangnya keluarga di rumah tidak lagi terbeban dan kos sara hidup di kampus diharap tidak meningkat naik,"katanya.

Bagi penjawat awam, Mohd Rizal Ahmad,43 berkata, pemberian subsidi itu adalah tindakan yang bagus namun perlu diperjelaskan kepada rakyat.

"Kadang-kadang maklumat berhubung perkara berkenaan tidak sampai dan rakyat tidak tahu mereka sudah menikmati subsidi selama ini.

"Diharapkan juga subsidi diberikan ini dapat dinikmati oleh golongan yang memerlukan dan tidak boleh salah guna oleh golongan berpendapatan tinggi," katanya.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata lebih RM70 bilion subsidi diberikan kepada Keluarga Malaysia pada tahun ini bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan situasi inflasi di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 4:22 PM