Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Tindakan segelintir pemimpin politik menggerakkan kempen mendakwa kerajaan mengurangkan pemberian subsidi kepada semua lapisan masyarakat dipersoalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, pengurangan pemberian subsidi itu tidak menjejaskan semua lapisan masyarakat sebaliknya hanya membabitkan inisiatif kadar elektrik dan haji bagi golongan T20 saja.

Perdana Menteri mempersoal kewajaran kempen terbabit selain menegaskan pendekatan itu terpaksa dibuat bagi mengurangkan bebanan terpaksa ditanggung rakyat dalam golongan B40 dan M40.

"Saya kurang faham di mana kurangnya subsidi? Kita kurangkan (subsidi elektrik dan haji) bagi golongan kaya, bukan untuk rakyat tetapi hanya bagi golongan maha kaya.

"(Pemberian subsidi) tidak dikurangkan bagi majoriti rakyat dan 90 peratus tidak terkesan. Malah, kadar elektrik bagi industri sederhana kecil (IKS) dan makanan tidak dinaikkan.

"Kenapa nak dipolitikkan isu ini? Kita nak jadi jaguh siapa?" katanya menjawab soalan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai pendekatan kerajaan berhubung pengurangan pemberian subsidi yang didakwa membebankan rakyat.

Perdana Menteri turut mempersoal kewajaran pemberian subsidi haji kepada golongan T20 sedangkan mereka mampu menunaikan ibadah berkenaan pada kadar kos ditetapkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau juga mengakui tegas mahu melaksanakan pendekatan berkenaan, biarpun menerima rungutan daripada golongan T20 berhubung pengurangan subsidi haji.

"Kamu (golongan T20) sudah kaya benor (sangat), takkan TH nak beri subsidi untuk pergi ke Makkah?

"Saya terpaksa ambil daripada orang kaya supaya tidak bebankan golongan miskin. Itu pun kadar agak minimal, kalau haji TH tak dibenarkan ambil untung, cuma ambil kira kos haji," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 12:30 PM