Keadaan lalulintas di Jalan Bangsar sesak berikutan polis membuat sekatan jalan raya ekoran daripada perhimpunan mendesak Ketua Pengarah SPRM letak Jawatan. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Keadaan lalulintas di Jalan Bangsar sesak berikutan polis membuat sekatan jalan raya ekoran daripada perhimpunan mendesak Ketua Pengarah SPRM letak Jawatan. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis mengenal pasti 12 aktivis yang hadir pada perhimpunan program Pentas Anak Muda #TangkapAzamBaki di Dewan Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, Pemuda Amanah Nasional mengadakan program berkenaan, jam 9 malam tadi.

"Dianggarkan seramai 30 hingga 40 individu selain 12 aktivis yang dikenal pasti hadir dengan motif untuk mengajak masyarakat terbabit dalam perhimpunan #TangkapAzamBaki di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar yang akan diadakan 11 pagi ini.

"Kami ingin memaklumkan bahawa perhimpunan ini tidak mendapat permit dan kebenaran daripada pihak berkuasa dan pihak penganjur gagal menghantar notis pemberitahuan mengadakan program berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, seramai lapan pengunjung awam hadir dalam program perhimpunan itu namun, tiada tangkapan dibuat.

"Bagaimanapun, pemeriksaan butiran diri pengunjung yang hadir dalam perhimpunan terbabit akan dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 atas kesalahan pemberitahuan perhimpunan," katanya.

Beliau berkata, orang awam dilarang menyertai mana-mana perhimpunan tanpa permit yang sah daripada pihak polis.

"Berhimpun secara haram boleh menimbulkan kacau ganggu awam. Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 9:59 AM