Bekas pengawal keselamatan, Letchumy Subramaniam, 43 pengsan selepas bercakap kepada media berhubung penyerahan memorandum meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan siasatan dan membatalkan kontrak sebuah syarikat kawalan keselamatan yang didakwa membuli dan mengugut pekerja sehingga mengalami tekanan perasaan serta cuba membunuh diri di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Bekas pengawal keselamatan, Letchumy Subramaniam, 43 pengsan selepas bercakap kepada media berhubung penyerahan memorandum meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan siasatan dan membatalkan kontrak sebuah syarikat kawalan keselamatan yang didakwa membuli dan mengugut pekerja sehingga mengalami tekanan perasaan serta cuba membunuh diri di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Samadi Ahmad

Putrajaya: Jaringan Pekerja Kontrak kerajaan (JPKK) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyiasat sebuah syarikat pengawal keselamatan yang didakwa memberi tekanan kepada pekerja hingga mengakibatkan cubaan bunuh diri.

Koordinator JPKK Negeri Sembilan, S Tinagaran Subramaniam berkata, ia susulan seorang pengawal keselamatan wanita di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Letchumy Subramaniam, 43, cuba membunuh diri dengan menelan pelbagai ubat tahan sakit serta bertindak berhenti kerja akibat tekanan.

Katanya, Letchumy cuba membunuh diri ekoran tekanan diberikan majikan kerana mangsa dan petugas lain membuat aduan kepada Pengarah Hospital dan Jabatan Tenaga kerja (JTK).

"Sejak syarikat berkenaan mengambil alih kontrak pada 2020, gaji bulanan pekerja dipotong, masa rehat yang tidak cukup dan tidak membayar gaji tugasan pada cuti kelepasan am," katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri Kesihatan di sini, tadi.

Memorandum diserahkan kepada Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan KKM, Thean Ming Fatt.

Tinagaran berkata, mangsa sudah bekerja sebagai pengawal keselamatan selama lapan tahun dan sebelum ini tidak pernah berhadapan dengan masalah kerja.

Menurutnya, mangsa juga mempunyai lapan anak dan sebelum ini berhadapan dengan pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan pernah diserang Covid-19.

"Apabila wanita itu mengemukakan surat cuti sakit, gaji bulanannya akan dipotong termasuk pernah diberikan dua surat amaran dan boleh diberhentikan kerja sekiranya menerima satu lagi surat amaran.

"Kami mahu KKM mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) dan perjanjian kepada syarikat yang diberikan kontrak supaya lebih prihatin dan mempunyai dasar toleransi serta profesional terhadap pekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 1:23 PM