Zaid Salim

Kuala Terengganu: "Jika ditakdirkan dia sudah tiada, saya berharap jasadnya dapat ditemui dengan segera," kata Mohd Zaki Zakaria, 54, bapa kepada Muhammad Farhin, 20, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika pulang mencandat sotong, Sabtu lalu.

Mohd Zaki dari Kampung Tawang, Bachok, Kelantan, berkata dia bersama isteri, Raihan Mohamad, 50, serta dua anak perempuan reda dengan tragedi menimpa anak kedua daripada tiga beradik itu.

Katanya, anak lelakinya yang bekerja sebagai mekanik lori sebelum ini tidak pernah turun ke laut, namun dia mula mengikut sepupunya bekerja sebagai nelayan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira dua tahun lalu.

"Ketika dia memberitahu mahu kerja dengan sepupunya sebagai nelayan, saya keberatan kerana bimbang dan berat hati disebabkan dia tidak biasa kerja di laut selain tidak pandai berenang. Namun disebabkan minat, dia tetap mahu mengikut sepupunya yang juga tekong bot pukat jerut.

"Sudah lebih dua tahun dia mengikut sepupunya dan ini kali pertama kejadian buruk berlaku kepadanya," katanya yang tiba di negeri ini, Ahad lalu.

Katanya, ahli keluarga dan saudara mara tidak sentiasa berdoa semoga Allah memudahkan urusan pelbagai pihak mencari anaknya sehingga ditemui.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya belum menemui sebarang petunjuk yang boleh membantu usaha pencarian mangsa.

Menurutnya, Ops Cari Lamat yang memasuki hari ketiga diperluaskan sehingga 100 batu nautika bermula dari muara Sungai Terengganu.

"Kita mengalami sedikit kesukaran untuk mengesan mangsa kerana mangsa disedari hilang sebaik bot menghampiri jeti. Kali terakhir mangsa dilihat berada di atas bot pada jarak enam batu nautika," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Muhammad Farhin dipercayai terjatuh dari bot ketika dalam perjalanan pulang mencandat sotong kira-kira 6 pagi.

Ketiadaan mangsa disedari tekong dan kru bot pukat jerut itu sebaik bot berkenaan menghampiri jeti Pulau Kambing, di sini.

Mohd Zaki (duduk) mendengar penjelasan daripada pegawai APMM mengenai Ops Cari Lamat anaknya, Muhammad Farhin Yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot di Perairan Kuala Terengganu ketika pulang mencandat sotong, Sabtu lalu. FOTO ZAID SALIM
Mohd Zaki (duduk) mendengar penjelasan daripada pegawai APMM mengenai Ops Cari Lamat anaknya, Muhammad Farhin Yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot di Perairan Kuala Terengganu ketika pulang mencandat sotong, Sabtu lalu. FOTO ZAID SALIM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 2:18 PM