Tinjauan harga ayam di Pasar Harian dan Pasar Tani Selayang. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Tinjauan harga ayam di Pasar Harian dan Pasar Tani Selayang. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Cadangan penetapan harga siling ayam yang baharu serta kadar subsidi kepada penternak akan dibawa ke mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara yang dipengerusikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Putrajaya, hari ini.

Mesyuarat turut disertai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ronald dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini berkata, mesyuarat itu bersidang bagi mempertimbangkan cadangan penetapan harga siling ayam yang baharu serta kadar subsidi kepada penternak.

"Cadangan ini akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet pada hari Rabu, 29 Jun ini sebelum diumumkan.

"Harga kawalan baharu ini mengambil kira kepentingan penternak, pemborong dan peruncit bagi memastikan harga yang ditetapkan adalah munasabah bagi semua pihak.

"Bantuan tunai tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan Perdana Menteri juga sudah diambil kira," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat juga mengambil maklum mengenai status semasa bekalan makanan negara serta status harga barangan terpilih serta pelaksanaan intervensi pengukuhan sekuriti makanan negara.

"Bekalan ayam diunjur kekal stabil dan mencukupi pada minggu keempat bulan Jun 2022. Bekalan komoditi lain diunjur kekal stabil dan mencukupi menampung permintaan bulan semasa," katanya.

Tambah beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut memaklumkan status terkini barangan harga terpilih dan tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap premis yang didapati tidak mematuhi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum bagi Ayam dan Telur.

"Usaha sama rentas kementerian akan diteruskan untuk meminimakan impak beban kos sara hidup rakyat.

"Kerajaan komited meneruskan usaha bagi memastikan kelangsungan dan kebolehcapaian bekalan makanan di pasaran dengan harga yang berpatutan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

Semalam, Ronald dipetik berkata kerajaan memutuskan penetapan harga siling baharu bagi harga ayam akan diselaraskan dengan mengambil kira bantuan tunai tambahan BKM yang diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 9:51 PM