Rosman Shamsudin

Behrang: Seorang wanita terkejut selepas menerima hadiah kambing sempena Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Ke-12 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Behrang 2020, dekat sini, hari ini.

Hadiah kambing jantan yang berharga kira-kira RM1,000 diberikan kepada suri rumah, Sarimah Abd Aziz, 53, dalam sesi cabutan bertuah atas inisiatif pihak PIBG dan sekolah untuk menarik lebih ramai ibu bapa hadir ke mesyuarat terbabit.

Majlis penyampaian hadiah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon dan turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Daerah Muallim, Saipol Bahrin Sulaiman, Yang Di Pertua (YDP) PIBG SMK Bandar Behrang 2020, Prof Madya Dr Ghazali Din serta Pengetua SMK Bandar Behrang 2020, Mohd Sabry Deraman.

Sarimah berkata kehadiran beliau dalam mesyuarat PIBG hanya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai ahli PIBG sekolah berkenaan.

SEORANG suri rumah terkejut selepas terpilih menerima seekor kambing dalam sesi cabutan bertuah sempena Mesyuarat Agung PIBG Ke-12. hari ini. FOTO Rosman Shamsudin
SEORANG suri rumah terkejut selepas terpilih menerima seekor kambing dalam sesi cabutan bertuah sempena Mesyuarat Agung PIBG Ke-12. hari ini. FOTO Rosman Shamsudin

"Sejak anak saya bersekolah sama ada di sekolah rendah atau menengah, inilah kali pertama pihak PIBG dan sekolah menyediakan hadiah kambing.

"Memang sebelum ini ada dimaklumkan bahawa hadiah utama cabutan bertuah ialah kambing untuk ibu bapa yang hadir ke mesyuarat tetapi saya ingat hanya jenaka sahaja, " katanya ditemui selepas Mesyuarat Agung PIBG Ke- 12 SMK Bandar Behrang 2020, dekat sini.

Kambing terbabit disumbangkan oleh pemilik syarikat teknologi pendidikan, AR Edutech, Abdul Rahman Bashah.

Sementara itu, Dr Ghazali berkata tahun ini PIBG sekolah ini menampilkan kelainan dengan menyediakan seekor kambing sebagai hadiah utama dalam sesi cabutan bertuah.

Katanya, terdapat kira-kira 100 hadiah cabutan bertuah disediakan oleh pihak PIBG dan sekolah bertujuan menarik lebih ramai ibu bapa hadir dalam mesyuarat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 4:11 PM