JULAIHI ketika berucap sempena Majlis Penghargaan kepada Cikgu Haseli Baseri yang bersara wajib anjuran SK Segali. FOTO Melvin Joni
JULAIHI ketika berucap sempena Majlis Penghargaan kepada Cikgu Haseli Baseri yang bersara wajib anjuran SK Segali. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Sebuyau: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa menyegerakan pembinaan sekolah ganti penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau yang tertangguh begitu lama.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, peruntukan pembinaan SMK Sebuyau diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11, tetapi ia belum mula dilaksanakan meskipun kini sudah memasuki Rancangan Malaysia Ke-12.

"Pembinaan perlu disegerakan kerana bangunan SMK Sebuyau sekarang tidak selamat untuk digunakan dan tidak kondusif untuk mengajar serta belajar.

"KPM diminta bertindak segera sebelum keadaan yang tidak diingini berlaku di sekolah terbabit," katanya ketika berucap sempena Majlis Penghargaan kepada Cikgu Haseli Baseri yang bersara wajib anjuran Sekolah Kebangsaan Segali di sini, hari ini.

Sementara, Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebuyau meluluskan geran sebanyak RM10,000 untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Segali.

Selain itu, beliau turut meluluskan peruntukan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM100,000 untuk menaik taraf beberapa kemudahan di sekolah berkenaan, yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 3:15 PM