PELAJAR SMK Batu Laut, Kuala Langat bersama hadiah dimenangi berikutan mempunyai rekod kehadiran 100 peratus dalam program Ponteng Sifar (Proponsif) 2019.
PELAJAR SMK Batu Laut, Kuala Langat bersama hadiah dimenangi berikutan mempunyai rekod kehadiran 100 peratus dalam program Ponteng Sifar (Proponsif) 2019.
Faliq Lajim


MOTOSIKAL Yamaha Lagenda 110Z, pakej percutian termasuk tiket penerbangan ke Langkawi serta televisyen LED antara hadiah diterima pelajar Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Batu Laut, Kuala Langat.

Hadiah itu diberikan kepada pelajar mempunyai rekod kehadiran 100 peratus dalam program Ponteng Sifar (Proponsif) 2019.

Pengetuanya, Azman Mashuri berkata, ketika mula berkhidmat di sekolah terbabit, beliau mendapati purata kehadiran sangat rendah iaitu 82 peratus pada 2017.

Menurutnya, beliau kemudian merangka program itu dan mendapat sokongan penuh daripada guru SMK Batu Laut dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) serta komuniti setempat.

“Segelintir pelajar tidak datang ke sekolah berikutan sikap malas selain ibu bapa tidak mengambil peduli mengenai kehadiran anak mereka.

“Jadi, kami mahu mereka (pelajar) datang ke sekolah. Biar sedikit sekalipun, namun ia tetap ilmu yang boleh digunakan mereka nanti.

“Apabila program ini dibuat pada 2018, purata kehadiran itu naik ke 86 peratus. Alhamdulillah, pada tahun ini naik sehingga 90 peratus. Walaupun, tidak mencapai kehadiran baik iaitu 95 peratus, ia semakin meningkat. Itu yang penting.

“Malah, kita lihat pencapaian akademik meningkat apabila gred purata pada 2017 ialah 6.02. Tahun lalu, kita capai 5.75 dan tahun ini pula 5.55. Semakin rendah semakin bagus,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, semua guru mahukan yang terbaik bagi pelajarnya dan inisiatif dinamakan Batu Laut Sekolah Terbilang (BLAST) adalah antara cara menaikkan motivasi mereka.

Menurutnya, mereka menghadapi masalah dana, namun mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak dan sumbangan guru, PIBG serta komuniti setempat bagi merealisasikan program itu.

Katanya, Allahyarham Nur Ain Summayyah Fakhrul Khair yang meninggal dunia dalam kebakaran pada Julai lalu pernah memenangi televisyen selepas mencatatkan jumlah kehadiran penuh sehingga pertengahan tahun.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Datin Juvita Wahab berkata, seramai 51 pelajar berjaya mencatatkan rekod kehadiran 100 peratus pada tahun ini.

Beliau berkata, semua pelajar mencatat kehadiran penuh diberi hadiah iaitu peralatan sekolah yang boleh digunakan pada tahun hadapan.

“Tiada daripada mereka dipilih melalui cabutan bertuah untuk memenangi hadiah utama.

“Insya-Allah, program ini akan dibuat secara tahunan bagi menggalakkan pelajar sekolah ini untuk hadir ke sekolah untuk menimba ilmu.

“Malah, saya turut dihujani dengan panggilan daripada PIBG sekolah lain bertanyakan lebih lanjut program berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 9:00 PM