AEDLY Fadly (kanan) bersama Henry Sum Agung (tengah) hadir pada Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Stesen Penguatkuasaan JPJ di Kijal Kemaman, malam tadi. FOTO ihsan JPJ
AEDLY Fadly (kanan) bersama Henry Sum Agung (tengah) hadir pada Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Stesen Penguatkuasaan JPJ di Kijal Kemaman, malam tadi. FOTO ihsan JPJ
Rosli Ilham


Chukai: Sebanyak 55,000 kesalahan membenarkan kenderaan dipandu individu tidak mempunyai lesen direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedly Fadly Ramli berkata, daripada jumlah itu, kebanyakan kesalahan membabitkan ibu bapa yang membenarkan anak di bawah umur memandu tanpa lesen.

Menurutnya, JPJ sangat kesal dengan sikap ambil mudah anggota masyarakat yang berterusan melakukan kesalahan itu tanpa memikirkan risiko serta bahaya kepada pengguna jalan raya.

"Bila ditahan anggota penguat kuasa, mereka memberi pelbagai alasan tidak munasabah.

"Analisis dan pemerhatian terkini JPJ mendapati tiada perubahan sikap yang ketara daripada pemilik kenderaan mengenai perkara itu sepanjang empat tahun kebelakangan ini," katanya ketika meninjau Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Stesen Penguatkuasaan JPJ di Kijal Kemaman, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum dan Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin.

Aedly Fadli berkata, sejak Januari 2009 hingga Mei tahun ini, JPJ merekodkan sebanyak 347,300 kesalahan membenarkan kenderaan dipandu mereka yang tidak mempunyai lesen.

"Mana-mana pemilik yang ingkar boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tidak melebihi tiga bulan atau kedua-dua sekali.

"Kita meminta orang ramai supaya memandang serius berhubung dengan perkara itu bagi mengelak dikenakan saman," katanya.

Katanya, JPJ juga tidak teragak-agak akan mengambil tindakan tegas dengan menyita kenderaan di bawah Seksyen 64(1) akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 10:41 AM