ANGGOTA JPJ memantau kenderaan sempena Op Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri. FOTO Aswadi Alias.
ANGGOTA JPJ memantau kenderaan sempena Op Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri. FOTO Aswadi Alias.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Awas buat pemandu yang gemar menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memotong barisan kerana ada 'mata' memerhati.

Tindakan penguatkuasaan itu dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi penggunaan Kamera Aksi Pengawasan, yang fungsinya merakam kesalahan pemandu sepanjang Op Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

Selain kesalahan itu, pemantauan turut membabitkan kesalahan melanggar lampu isyarat, memotong di lorong kiri atau garisan berkembar, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar dan memandu secara berterusan di lorong kanan.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata, pemantauan itu akan dilakukan anggota Unit Penguatkuasaan Bermotosikal sebagai salah satu kaedah memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan sekali gus mengurangkan kadar kemalangan.

"Bentuk penguatkuasaan JPJ bukan lagi sekatan jalan raya (SJR) tapi lebih kepada pemeriksaan secara pendigitalan kerana kita bimbang SJR akan menambah kesesakan dan rasa tidak selesa kepada mereka yang ingin menyambut perayaan.

"Pemantauan akan dilakukan anggota dilengkapi Kamera Aksi Pengawasan jenis GoPro Max 360 dan merakam kesalahan pemandu di lapangan. Gambar yang dirakam dihantar ke Bilik Gerakan dan notis saman akan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada program 'Kick Off' Op Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2022 di Plaza Tol Sungai Besi arah Selatan di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemantauan lebih tertumpu di kawasan 'hot spot' yang dikenal pasti sering berlakunya kemalangan.

Selain itu, katanya, orang awam juga boleh membuat aduan mengenai sebarang kesalahan lalu lintas kepada JPJ melalui portal e-aduan dan pemberi maklumat akan menerima insentif sekiranya siasatan mendapati kesalahan benar berlaku dan tindakan lanjut sudah diambil.

Terdahulu, dalam operasi itu, Zailani berkata, sebanyak 1,137 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, 279 kenderaan diambil tindakan selain mengeluarkan 508 saman atas pelbagai termasuk tiada lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh.

Tambah beliau, operasi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membabitkan kekuatan seramai 198 pegawai serta anggota.

Operasi dilakukan sebagai pembuka tirai Op Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2022 yang bermula hari ini sehingga 9 Mei depan.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 8:05 AM