Asrol Awang

Kuantan: Kerajaan Pahang dan Media Prima Berhad (MPB) sedia menjalin kerjasama dalam menyalurkan laporan berita yang sebenar dan tepat kepada rakyat di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerjasama berkenaan menggunakan saluran tertentu yang boleh diakses rakyat melalui MPB.

Katanya, ketika ini banyak saluran di media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Instagram dan TikTok, tetapi ia belum sampai pada tahap maksimum kepada rakyat.

"Dengan kerjasama ini, MPB akan bantu kerajaan negeri untuk menyalurkan laporan (berita) kepada masyarakat dengan maklumat yang sebenar dan tepat. Kita mengalu-alukan kerjasama ini," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid di Pejabat Menteri Besar Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersalaman bersama Pengerusi Kumpulan, MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid (dua kanan) ketika lawatan deligasi Media Prima Berhad, di Wisma Sri Pahang. Turut kelihatan, Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak (kiri). FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersalaman bersama Pengerusi Kumpulan, MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid (dua kanan) ketika lawatan deligasi Media Prima Berhad, di Wisma Sri Pahang. Turut kelihatan, Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak (kiri). FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Mohd Efendi Omar; Timbalan Editor Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen MPB, Azhari Muhidin dan Pengurus Besar Kumpulan, Pejabat Pengerusi Kumpulan MPB, Azlan Abdul Aziz.

Sementara itu, Dr Syed Hussian berkata, perbincangan berkenaan diadakan untuk mempertingkatkan jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan MPB.

"Alhamdulillah, Menteri Besar Pahang bersetuju untuk mengadakan lawatan ke Sri Pentas bagi menyambung perbincangan seperti yang diadakan, hari ini.

"Kita harap kolaborasi yang boleh dilakukan dalam menguar-uarkan berita menerusi platform media MPB.

"Antara perkara kita lihat dapat membantu dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke Pahang ialah sektor pelancongan melalui platform media milik MPB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 5:50 PM