Amirudin Shari . FOTO Faiz Anuar
Amirudin Shari . FOTO Faiz Anuar
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Pembahagian kerusi dalam Pakatan Harapan (PH) Selangor sudah diselesaikan awal sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pihaknya sudah memuktamadkan pembahagian kerusi Parlimen di negeri ini, namun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) belum diselesaikan.

"Untuk Parlimen sudah okey. Cuma DUN hanya satu atau dua lagi (belum dimuktamadkan).

"Tapi kita ada masa untuk sampai ke tahun depan (pembubaran DUN) bagi berbincang dan seterusnya mencapai persetujuan dengan rakan komponen PH lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Parlimen Sungai Besar dan Sabak Bernam di sini, hari ini.

Amirudin berkata, kawasan luar bandar menjadi tumpuan PH Selangor bagi memastikan calon mewakili parti itu menang PRU-15.

Mengambil contoh Parlimen Sungai Besar dan Sabak Bernam, beliau berkata, dua kawasan ini harus diberi tumpuan dan diperkuatkan dari segi gerak jentera parti.

"Sekiranya jentera bersedia dan bersemangat, saya percaya kawasan luar bandar juga mampu dimenangi calon PH.

"Saya harap mereka akan terus bekerja dan mempunyai momentum berterusan untuk kita capai kemenangan," katanya.

Sementara itu, Amirudin dalam ucapannya berkata, buat pertama kali PH akan meletakkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar pada PRU-15.

"Kerusi Parlimen Sabak Bernam pula diberikan kepada Parti Amanah Negara (Amanah). Untuk itu, kita meminta supaya ahli parti PKR dan DAP memberi sokongan sebagai satu pasukan atas nama PH dan begitulah sebaliknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 5:38 PM