MOHD Haris turut turun padang membantu pasukan operasi membawa naik mayat mangsa. FOTO  Juwan Riduan.
MOHD Haris turut turun padang membantu pasukan operasi membawa naik mayat mangsa. FOTO Juwan Riduan.
Juwan Riduan


Penampang: Seorang daripada mangsa yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Kampung Pogunon, sejak semalam, ditemukan lemas di Sungai Moyog Kampung Pagansakan Inobong, di sini, hari ini.

Mangsa yang dipercayai sebagai Harold Walter, 17, ditemukan pada 2.45 petang oleh penduduk kampung yang kebetulan turun ke sungai untuk memeriksa pukat ikan miliknya.

Difahamkan, mangsa ditemui di tebing sungai dalam keadaan ditimbuni pasir dan runtuhan pokok bambu.

Sebaik ditemui, penduduk kampung terbabit terus memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika ditemui di lokasi mengesahkan penemuan mayat berkenaan.

Katanya, proses pengecaman mayat yang ditemui berkenaan sudah dilakukan oleh ahli keluarga.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dalam tragedi kira-kira jam 3 petang semalam, kedua-dua mangsa dikatakan bersama empat lagi rakan terselamat cuba menyeberangi sungai berkenaan.

Bagaimanapun, ketika empat remaja terselamat sudah menyeberangi sungai berkenaan, kepala air tiba-tiba meluncur deras sehingga mengakibatkan paras air naik mendadak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 4:37 PM