Ain Husniza (kiri) berkongsi keputusan cemerlang SPM diperolehnya. FOTO ihsan Ain Husniza.
Ain Husniza (kiri) berkongsi keputusan cemerlang SPM diperolehnya. FOTO ihsan Ain Husniza.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Remaja perempuan yang sebelum ini tular selepas mendedahkan tindakan seorang guru membuat lawak mengenai rogol memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.

Ain Husniza Saiful Nizam, 18, yang turut memperjuangkan isu #MakeSchoolASaferPlace berkongsi berita gembira itu menerusi ciapan di Twitter miliknya.

Menerusi ciapannya, remaja itu memaklumkan walaupun tertekan dengan pelbagai kecaman netizen, dia berjaya membuktikan kejayaannya dengan memperoleh 7A 1B dalam peperiksaan SPM.

"Saya tidak boleh cerita macam mana tertekan saya sewaktu SPM yang mana mereka beritahu saya tidak ada berkat dalam pelajaran, ilmu yang saya peroleh adalah haram dan berterusan mengharapkan saya gagal dalam pelajaran.

"Mereka juga menyindir tubuh badan saya dan menjatuhkan saya di setiap sudut yang mereka boleh," ciapnya semalam.

Dalam pada itu, Ain Husniza turut berkongsi tangkap layar salah seorang netizen yang mengecamnya sebelum ini.

Katanya, komen berkenaan adalah antara salah satu daripada ratusan netizen yang mendoakan kegagalannya.

"Bila membaca mesej itu, saya berjanji kepada diri sendiri bahawa saya akan membuktikan mereka salah.

"Ain tak pandai, Ain tak pernah dapat keputusan seperti ini bagaimanapun Ain percaya ini semua berkat semua guru yang mengajar dan rakan-rakan yang saya temui sepanjang perjalanan saya.

"Tidak kira apa keputusan yang anda dapat, semua berhak mendapat keselamatan di sekolah. #MakeSchoolASaferPlace," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 12:43 PM