Daniel Haziq  diraikan ibu bapanya selepas memperoleh 11A dalam keputusan SPM, semalam.
Daniel Haziq diraikan ibu bapanya selepas memperoleh 11A dalam keputusan SPM, semalam.
Amirul Aiman Hamsuddin


MENJADIKAN al-Quran sebagai sahabat karib dan pembasah bibir ternyata memberi rahmat buat pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Sabak Bernam, Daniel Haziq Mahadi, 17, apabila memperoleh 11A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semalam.

Remaja yang berasal dari Bukit Beruntung, Hulu Selangor itu memperoleh semua A dalam 11 subjek diambilnya.

Ketika ditemui, anak kedua dari empat beradik itu yang bergelar huffaz sejak berusia 16 tahun mengakui kaedah menghafaz al-Quran yang dipelajari resipi terbaik sewaktu menjawab peperiksaan.

“Sebenarnya, apabila bergelar huffaz, kita senang menghadam ilmu lain seperti mata pelajaran al-Quran dan Sunnah, Syariah Islamiah serta bahasa Arab.

“Malah, berkat kitab suci ini, saya mudah ingat dan faham pembelajaran di dalam kelas,” katanya.

Menurutnya, Allah membantu seseorang itu jika sentiasa berdamping dengan al-Quran yang juga mukjizat teragung selain kunci kepada kecerdasan fikiran.

Dalam pada itu, Daniel Haziq turut berkongsi kaedah belajar sepanjang berada di maahad itu.

“Saya sering berkongsi ilmu dengan rakan bagi memudahkan mereka memahami pelajaran.

“Saya suka ajar rakan yang tidak faham kerana teknik itu memudahkan saya ingat apa yang saya ajar.

“Kita jangan kedekut ilmu kerana semakin kita belajar, semakin kita pandai. Malah, selagi ada peluang capai kejayaan, kita terus berjuang sebab Allah sentiasa bersama,” katanya.

Menurutnya, kejayaan memperoleh keputusan cemerlang itu berkat doa dan restu ibu, Siti Aminah Mohd Som, 48 dan bapa Mahadi Dimin, 49.

Tambah Daniel Haziq, dia bercita-cita menjadi pakar animasi dan berhasrat menyambung pengajian ke luar negara untuk meneroka bidang itu.

“Saya berhasrat menimba ilmu animasi di United Kingdom (UK) kerana negara itu terkenal dengan filem animasi dengan seni visual dan grafik berteknologi tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengetua MITS Sabak Bernam, Dr Azammuddin Zainuddin berkata, keputusan SPM kali ini merupakan antara pencapaian terbaik tahfiz itu.

“Seramai 32 pelajar menduduki SPM tahun lalu dan kami memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) SPM 2.02 dan seorang pelajar memperoleh 11A dalam semua mata pelajaran.

“Kami selaku warga pendidik menggalakkan mereka yang layak dan cemerlang dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) menyambung pendidikan di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 6:20 AM