Danny Yong Zhi Lik, mendapat keputusan cermerlang dengan memperolehi 8 A+. FOTO NADIM BOKHARI
Danny Yong Zhi Lik, mendapat keputusan cermerlang dengan memperolehi 8 A+. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Dua anak mekanik muncul antara calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 berkeperluan pendidikan khas di Sarawak yang berjaya meraih keputusan cemerlang, hari ini.

Pelajar terbabit, Danny Yong Zhi Lik dari Sekolah Menengah Chung Hua, di sini, mendapat 8A dalam semua mata pelajaran, manakala Shallzuandy Abdul Wahab Abdullah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semop, Daro pula berjaya memperoleh 6A,1B dan 1D.

Kedua-dua pelajar itu menghadapi masalah penglihatan sehingga menyukarkan mereka membaca dengan baik.

Meskipun menggunakan cermin mata, mereka masih sukar melihat dengan jelas terutama tulisan bersaiz kecil.

Justeru, dua pelajar itu terpaksa menggunakan alat bantuan penglihatan seperti kanta pembesar sepanjang tempoh pembelajaran di sekolah mahupun ketika mengulangkaji pelajaran.

Mengakui masalah penglihatan memang menyukarkan mereka untuk mengikuti pembelajaran, namun ia tidak pernah mematahkan semangat untuk mencapai keputusan cemerlang dalam akademik.

Zhi Lik berkata, masalah itu dialaminya sejak kecil dan dia tidak mahu ia menjadi penghalang untuk mencapai keputusan cemerlang.

"Bagi orang lain, mungkin apa yang saya alami ini satu kekurangan, tetapi bagi saya ia menjadi pembakar semangat," katanya.

Begitu juga dengan Shallzuandy, sebagai anak sulung daripada enam beradik, dia tidak mahu kekurangan itu menghalangnya untuk menjadi contoh buat adik-adiknya dalam pelajaran.

"Matlamat saya mahu membanggakan kedua ibu bapa serta menjadi contoh kepada adik-adik supaya mereka juga berusaha mencapai kecemerlangan dalam akademik," katanya.

Kedua-dua pelajar berkenaan ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2021 di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, di sini, hari ini

Zhi Lik berhasrat mahu menjadi guru sejarah kerana mata pelajaran itu paling diminatinya, manakala Shallzuandy pula menetapkan matlamat untuk menjadi guru Matematik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 6:17 PM