PU Riz dan isteri
PU Riz dan isteri

Kuala Lumpur: Tahun lalu pendakwah bebas dan selebriti, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz menawarkan RM300 kepada pelajar yang mendapat keputusan 5A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tahun ini, PU Riz, 27, menggandakan jumlah itu menjadi RM700 dan ditawarkan kepada pelajar daripada golongan kurang berkemampuan atau B40 dan orang kelainan upaya (OKU).

PU Riz berkata, dia mendapat banyak mesej peribadi (DM) di Instagram daripada pelajar lepasan SPM 2021 yang diumumkan kelmarin berkenaan kesusahan dialami.

"Diakui banyak kesusahan dilalui sepanjang pandemik berlaku ekoran penularan Covid-19 dalam negara. Tidak terkecuali ia turut memberi kesan pada sistem pendidikan terutama dalam mengendalikan peperiksaan besar macam SPM termasuk cabaran dihadapi pelajar.

"Jadi, inisiatif ini ingin diberikan kepada mereka yang berjaya menyelesaikan dan mengharungi cabaran ini hingga mendapat keputusan cemerlang hasil ketekunan dalam pelajaran.

"Selain itu, sudah tentu kita nak melihat  kesusahan dihadapi mereka. Sebab ada juga yang DM saya cakap yang ibu meninggal dunia akibat Covid-19 tapi kena teruskan persekolahan dan banyak lagi cerita sedih. Jadi, kriteria sebegini yang kita cuba utamakan. Jika bukan dalam kalangan B40 dan OKU, kita tawarkan pada yang mendapat keputusan cemerlang 7A," katanya.

Menurut PU Riz, tawaran itu juga sekali gus mahu memberi galakan kepada mereka untuk terus berusaha pada masa akan datang.

"Saya mahu berkongsi rezeki dengan adik-adik ini. Bukan nilai jadi ukuran, tapi apa saya cuba nak sampaikan adalah setiap usaha itu pasti akan peroleh kebaikan dan ganjaran. 

"Buktinya mereka sudah belajar bersungguh-sungguh biarpun berdepan pelbagai cabaran dan musibah," katanya yang juga suami kepada selebriti popular, Neelofa.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 9:42 AM