PROGRAM TKHM Bersama Kedai Ayamas di Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam, Kampung Melayu Sungai Rapat. FOTO Danial Saad
PROGRAM TKHM Bersama Kedai Ayamas di Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam, Kampung Melayu Sungai Rapat. FOTO Danial Saad
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Kedai Ayamas diteruskan dengan meraikan kanak-kanak di bawah jagaan Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam, di sini, semalam.

Terletak di Jalan Hj Mohd Noordin, Kampung Melayu Sungai Rapat di sini, pertubuhan itu menempatkan seramai 36 anak yatim dan miskin berusia antara dua sehingga 19 tahun.

Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek TKHM, Husain Jahit berkata, Perak adalah lokasi ketujuh daripada sembilan lokasi dalam siri jelajah di bawah program TKHM Bersama Kedai Ayamas bagi menyantuni golongan yang memerlukan di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Ini adalah tahun kedua kita sudah bekerjasama dengan Kedai Ayamas bagi menjayakan program ini, yang mana tahun lalu kita juga turun menjelajah ke sembilan negeri.

"Kita akan meneruskan lagi kerjasama ini di masa-masa akan datang," katanya pada majlis penyampaian sumbangan dan meraikan anak-anak yatim ini.

Turut hadir, Pengarang Berita Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Abd Aziz; Pengarah Eksekutif Kedai Ayamas, Abd Rahman Md Dawi; Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Kedai Ayamas, Mohamad Izham Mohamad Haroun dan Pengurus Operasi Kedai Ayamas (Cawangan Utara), Fauziah Ahmad Shaari.

Husain berkata, Harian Metro sebagai akhbar yang dekat dengan pembaca sentiasa peka dan prihatin dengan isu dan permasalahan masyarakat setempat.

"Selain bertindak sebagai penyampai maklumat dan berita semasa, kami sentiasa komited untuk sama-sama turun padang memastikan kesejahteraan dan kebajikan golongan yang memerlukan terjaga dan dipelihara.

"Kami mahu menjadi sahabat dan jiran kepada mereka yang memerlukan serta memastikan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui program TKHM ini membawa kesan positif dan menyumbang ke arah kebaikan dan kesejahteraan masyarakat," katanya.

Beliau berharap usaha murni ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban pihak pengurusan rumah kebajikan berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa ini sekali gus membawa keceriaan dan kegembiraan buat anak-anak ini.

Pada majlis berkenaan, Kedai Ayamas menyampaikan sumbangan wang tunai dan pelbagai barangan kegunaan harian termasuk jenama Kedai Ayamas, beg sekolah serta telekung selain menjamu penghuni dengan set menu Ayamas.

Harian Metro juga menghulurkan bantuan Kotak Rezeki berupa barangan keperluan harian seperti beras, susu, gula dan tepung.

Sementara itu, Abd Rahman berkata, program bersama Harian Metro itu adalah salah satu daripada aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan oleh pihaknya untuk menyantuni golongan memerlukan.

"Komitmen kami tidak akan berhenti di sini saja dan banyak lagi aktiviti membabitkan pelbagai golongan masyarakat akan dilaksanakan dan diteruskan, selagi mana Kedai Ayamas bertapak di negara ini.

"Untuk rakan kerjasama media kami, Harian Metro, saya berharap jalinan kerjasama ini akan diteruskan pada masa-masa akan datang agar Kedai Ayamas dapat membantu lebih ramai lagi anggota masyarakat di luar sana," katanya.

Katanya, sebagai organisasi media Harian Metro adalah jambatan penghubung dengan masyarakat dan membuka mata dan lebih faham isu dan keperluan masyarakat, seterusnya sama-sama meringankan beban mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 3:59 PM