Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah yang menjadi musuh nombor satu negara.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tindakan tegas sebagaimana yang termaktub di dalam peraturan sedia ada akan diambil kerana pembabitan mereka akan menjejaskan nama baik agensi dan kerajaan negeri.

"Kita akan buat sebagaimana yang sepatutnya dalam prosedur disiplin dan saya rasa kita tidak bertolak ansur (isu penyalahgunaan dadah) walaupun sedikit.

"Sebab ia bukan (hanya) akan merana seorang yang terbabit dengan dadah itu sahaja tetapi seluruh agensi atau struktur pentadbiran akan terjejas.

"Ia akan memberi gambaran bukan kepada orang itu sahaja tetapi seluruh pentadbiran kerajaan, jadi kita tidak akan bertolak ansur kepada mana-mana penjawat awam yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

"Tahun lalu, seramai 85 penjawat awam direkodkan terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan kita pandang serius perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Peringatan Hari Anti Dadah Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu dan Seminar Tempat Kerja Bebas Dadah di sini hari ini.

Ahmad Samsuri turut memberi peringatan sama kepada seluruh anggota masyarakat untuk menjauhi dadah dan bersama-sama membanterasnya.

Katanya, kerajaan negeri turut meminta pihak yang berkenaan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil apa juga tindakan dalam memerangi dadah.

"Undang-undang anti dadah perlu tetapi sifat menolak dadah lebih berkesan kerana ia akan membuatkan kita sentiasa berwaspada terhadap ancamannya," katanya.

Untuk rekod, Terengganu merekodkan seramai 12,033 orang yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah serta substan sepanjang tahun lalu.

Ia menunjukkan penurunan sebanyak 3.7 peratus berbanding 12,499 orang pada 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 5:45 PM