Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Kedai Ayamas meraikan 22 kanak-kanak naungan Persatuan Sindrom Down Kedah hari ini.

Rumah kebajikan persatuan itu turut menempatkan kanak-kanak autisme yang dikendalikan oleh tiga guru berpengalaman.

Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad berkata, program itu adalah siri jelajah bersama Kedai Ayamas dan kali ini menyantuni penghuni rumah persatuan berkenaan.

Beliau berkata, selain dapat menyantuni anak istimewa, program kebajikan itu turut memberi sumbangan barangan makanan kepada mereka.

"Kita ada lagi beberapa siri jelajah seperti ini dan esok kita akan ke Pulau Pinang mengadakan program sama.

"Sepanjang kita mengadakan program ini, banyak syarikat korporat yang menjadi rakan penaja. Kita amat berterima kasih kepada Kedai Ayamas atas sokongan untuk program ini," katanya ketika ditemui di rumah kebajikan itu di Jalan Pegawai, di sini.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Kedai Ayamas Mohamad Izham Mohamad Haroun, Pengarang Berita Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Abd Aziz, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Nor Asikin Ibrahim, Presiden Persatuan Sindrom Down Kedah, Mohd Johari Hassan dan Pengurus operasi Kedai Ayamas (Cawangan Utara), Fauziah Ahmad Shaari.

Sementara itu, Mohamad Izham berkata, ini adalah tahun kedua Kedai Ayamas bersama Harian Metro untuk menjayakan program berkenaan.

Beliau berkata, ini kali pertama program kerjasama itu diadakan di negeri ini.

"Tujuannya adalah untuk orang ramai tahu mengenai anak-anak istimewa di sini serta memberi mereka keceriaan.

"Adakalanya mereka rasa dipinggirkan dan kita akan rapatkan semula jurang antara mereka," katanya.

Sementara itu, Nor Asikin berkata, pihaknya berterima kasih kepada Harian Metro dan Kedai Ayamas melaksanakan misi seperti ini.

Katanya, program ini sangat bagus dan kerjasama antara syarikat akhbar dan swasta seperti Kedai Ayamas dapat membantu golongan kurang bernasib baik untuk sama-sama merasai kehidupan seperti orang lain.

"Bagi JKM Kedah, kita mengharapkan lebih banyak syarikat lain dapat membantu memberi sumbangan seperti ini kepada pusat jagaan di bawah naungan JKM.

"Selain itu, mereka juga akan berasa tidak tersisih daripada orang normal yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 4:03 PM
MUHAMAD Safar (kanan) dan Mohamad Izham (tiga kanan) bermesra dengan sebahagian kanak-kanak pada Program TKHM Bersama Kedai Ayamas di Persatuan Sindrom Down Kedah. FOTO Luqman Hakim Zubir
MUHAMAD Safar (kanan) dan Mohamad Izham (tiga kanan) bermesra dengan sebahagian kanak-kanak pada Program TKHM Bersama Kedai Ayamas di Persatuan Sindrom Down Kedah. FOTO Luqman Hakim Zubir