GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Pemandu lori ditahan kerana dipercayai merogol remaja perempuan berusia 15 tahun yang juga pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah di sini.

Mangsa yang berstatus orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran dipercayai dirogol suspek yang berusia 20-an ketika keluar rumah pada petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, ibu mangsa membuat laporan polis selepas mendapati anak perempuannya tiada di rumah pada petang kelmarin.

"Kira-kira 7.50 malam hari sama, mangsa pulang ke rumah dan ibunya mengesyaki remaja itu keluar bersama kawan lelaki iaitu suspek.

"Mangsa dikatakan keluar bersiar dengan membonceng motosikal suspek sebelum dirogol.

"Susulan itu, pada jam 8.30 malam tadi, polis membuat tangkapan ke atas suspek yang juga jiran mangsa," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Rosdi berkata, mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan.

Katanya, ujian saringan dilakukan ke atas suspek yang masih bujang mendapati dia positif dadah jenis methampethamine dan memiliki dua rekod lampau bagi kesalahan dadah dan jenayah.

"Suspek ditahan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 17 Jun ini bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK), jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 4:39 PM