Mangsa berusia 14 tahun diperkosa hingga melahirkan bayi
Mangsa berusia 14 tahun diperkosa hingga melahirkan bayi
Ekhwan Haque Fazlul Haque

POLIS kini menjejaki seorang pemuda selepas disyaki merogol remaja bawah umur sehingga melahirkan bayi perempuan di Bintulu, kelmarin.

Perbuatan keji suspek berusia 20-an itu terbongkar selepas remaja perempuan berusia 14 tahun melahirkan bayi di Hospital Bintulu 1.10 petang selepas mengadu sakit perut Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kelahiran itu daripada kakitangan Hospital Bintulu.

Menurutnya, pihak hospital membuat laporan polis kerana remaja terbabit masih di bawah umur selain curiga dengan status bayi dikandung.

"Polis kemudian mengambil keterangan sebelum mangsa mendedahkan dia dirogol.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah panjang di Bintulu dan suspek merogol mangsa beberapa kali sejak awal tahun ini," katanya.

Zulkipli berkata, perbuatan itu tidak didedahkan mangsa kepada keluarganya sehingga mereka tidak menyedari remaja terbabit mengandung.

Katanya, mangsa bagaimanapun tidak lagi diganggu suspek sejak awal Oktober lalu kerana sudah berpindah ke rumah panjang lain.

"Mangsa hanya dibawa ke Hospital Bintulu Rabu lalu oleh keluarganya selepas mengadu sakit perut sebelum melahirkan bayi perempuan keesokannya (kelmarin).

"Polis sudah mendapatkan maklumat lanjut identiti suspek dan kini usaha mengesannya giat dijalankan," katanya.

Zulkipli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 11:10 AM