RAKAMAN video yang sempat dirakam Siti Ruhanim selepas anjing milik jiran menyerang dia serta anaknya. FOTO Ihsan Siti Ruhanim Zainon
RAKAMAN video yang sempat dirakam Siti Ruhanim selepas anjing milik jiran menyerang dia serta anaknya. FOTO Ihsan Siti Ruhanim Zainon
Nurul Hidayah Bahaudin dan Anis Syuhada Mohd Rosli


Kuala Lumpur: Naluri seorang ibu melindungi anak daripada diserang anjing menyebabkan seorang wanita hamil cedera di lengan akibat digigit haiwan berkenaan dalam kejadian di sebuah kondominium di Batu 9 Cheras, Kajang, Selangor, Sabtu lalu.

Menceritakan semula pengalaman berkenaan, Siti Ruhanim Zainon, 35, berkata, kejadian itu berlaku 5.30 petang sebaik dia tiba di tempat letak kenderaan kondominium terbabit selepas selesai membeli-belah bersama enam anaknya berusia antara 18 hingga tiga tahun.

"Ketika saya keluar dari kenderaan bersama anak, saya melihat jiran bersama anjing itu keluar dari keretanya yang diparkir di hadapan kereta kami.

"Sebaik keluar kereta, anjing itu yang tidak diikat pada tali terus mengejar anak kedua saya sebelum ia berpatah balik dan menyerang anak bongsu yang berada berhampiran saya.

"Melihat keadaan itu, saya terus melindungi anak dengan meletakkan tangan kanan di badannya sebelum saya digigit oleh anjing berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Siti Ruhanim berkata, selepas beberapa saat digigit, dia terus menarik tangannya dari gigitan anjing terbabit.

"Anjing itu cuba menyerang saya semula, namun anak sulung saya bertindak membaling penutup tong sampah ke arah haiwan berkenaan sebelum ia melarikan diri.

"Jiran ada dilihat cuba mengejar anjing berkenaan dan dia dilihat gagal mengawal haiwan itu," katanya yang cedera ringan di bahagian lengan kanan akibat digigit anjing terbabit.

Dia yang juga seorang peniaga berkata, sebelum kejadian, dia ada menasihati jirannya itu supaya meletakkan anjing baka Labrador Retriever berkenaan di tempat bersesuaian memandangkan haiwan itu dilihat amat agresif.

"Pada tiga minggu lalu, saya dan anak ada terserempak dengan jiran bersama anjing berkenaan di dalam lif. Ketika itu, dia dilihat cuba mahu menyerang kami, namun ia diikat pada tali.

"Berikutan itu, saya ada menasihatkan jiran supaya meletakkan anjing berkenaan di tempat lain memandangkan kawasan ini tidak sesuai untuk membela haiwan itu.

"Namun, nasihat itu seperti tidak diendahkan apabila jiran dilihat masih membawa haiwan berkenaan di kawasan ini," katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu, Sabtu lalu.

Dia yang sedang hamil tujuh minggu berkata, selepas kejadian itu, pemilik anjing berkenaan tidak ada berjumpanya untuk menjelaskan mengenai insiden terbabit serta tiada permohonan maaf diterima.

"Saya buat laporan polis kerana saya tidak mahu ada anak orang lain menjadi mangsa diserang anjing berkenaan yang nampak amat agresif," katanya yang perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Serdang akibat kecederaan dialaminya.

Berita berkaitan

Ibu hamil digigit anjing akibat pemilik cuai

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 4:02 PM